PUTRAJAYA - Mayat pelajar perubatan Malaysia yang menuntut di Universiti Edinburgh, Scotland, Soh Zhi Min, 23, yang maut dalam satu kemalangan di bandar Edinburgh akan dibawa pulang dalam masa terdekat untuk dikebumikan di negara ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan memberitahu, Zhi Min yang merupakan pelajar tahun empat tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dilaporkan telah meninggal dunia oleh pihak polis di Hospital Edinburgh Royal Infirmary akibat kecederaan parah.
“Keluarga mendiang juga telah dihubungi bagi memaklumkan kejadian tersebut dan urusan membawa pulang jenazah sedang diusahakan oleh pihak Education Malaysia, Suruhanjaya Tinggi Malaysia, JPA, polis, hospital dan Universiti Edinburgh,” katanya di sini hari ini.
Dalam insiden pada pagi 31 Mei lalu, basikal yang ditunggang mendiang telah tersangkut pada laluan tram sebelum terjatuh ke laluan kenderaan utama dan dirempuh oleh bas pelancong di tengah bandar Edinburgh. -UTUSAN ONLINE