TUMPAT: Sebanyak 90 tan metrik minyak masak sudah dijual sejak siri jelajah oleh pembekal dan pemborong dilancarkan pada 15 Mei lalu.
Program yang mendapat kerjasama daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan itu sudah merangkumi 10 daerah di negeri ini dan akan menyambung jelajahnya bagi mencapai sasaran yang dibekalkan iaitu 140 tan metrik.
Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Abdul Ghani Harun, berkata hari ini memasuki fasa kedua penjualan minyak masak terus dari kilang dan ia dimulakan di tapak bazar Ramadan Wakaf Bharu, Tumpat.
"Sebanyak 5,000 metrik tan disediakan untuk pembeli dan pengunjung bazar Ramadan hari ini dengan harga serendah RM10 untuk empat kilogram (kg).
"Inovasi yang dicetuskan oleh Friends of KPDNKK ini adalah untuk menyerahkan terus minyak masak kepada pengguna dan mengelakkan ia jatuh ke tangan penyeludup.
"Kami menerima maklum balas yang cukup positif dari pengguna sepanjang jelajah ini," katanya kepada pemberita, sebentar tadi.
Turut hadir dalam majlis jualan adalah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz. Seorang peniaga murtabak, Mariani Ismail, 33, tidak melepaskan peluang membeli 4kg minyak masak untuk digunakan bagi perniagaannya.
Beliau yang menyifatkan harga jualan RM2.50 bagi sekilo minyak masak agak murah berbanding kedai runcit dan pemborong. "Jika di kedai runcit, harga yang dijual adalah RM3 manakala RM2.80 di kedai pemborong.
Apabila dijual pada harga yang agak murah di sini (bazar Ramadan), sudah pasti ramai yang datang membeli kerana menguntungkan walaupun dibenarkan hanya 4kg bagi setiap pembeli," katanya. - BHOnline