KENALI MINDA PEMBANGKANG

MENGENALI MINDA PEMBANGKANG

WhatsApp Image 2017-06-02 at 16.35.33
Oleh: AZMAN HUSSIN
KATAKANLAH kerajaan yang ada hari ini zalim dan menindas rakyat dan ia perlu ditukar dengan parti yang lebih baik seperti yang anda sarankan, adakah semestinya ia menghasilkan keadaan negara yang lebih baik?
Mungkin soalan ini anda tidak pernah terfikir, kerana kebencian anda ke atas kerajaan sedia ada begitu kuat merasuk minda anda. Ya, kebencian membuat fikiran manusia tidak waras dan rasional.
Dalam sistem demokrasi, pembangkang adalah perlu untuk mngawal dan menyemak kuasa pemerintah kerana pemerintah tidak wajar dibiarkan memerintah sesuka hati mereka tanpa diimbangi pembangkang. Tugas pembangkang adalah membangkang tindakan-tindakan kerajaan yang merugikan rakyat, misalnya.
Mungkin anda berfikir jika kerajaan baru sama dengan kerajaan lama, anda boleh menukarnya kembali. Itu hujah anda, apa salahnya mencuba meletakkan parti baru sebagai pemerintah.
Secara sepintas lalu, ada benarnya apa yang anda sarankan itu. Ya, tidak ada salahnya mencuba pemerintahan kerajaan baru, dan jika ia tidak elok, tukarlah semula.  Soalannya, kenapa perlu mencuba jika kita sudah dapat mengagak keburukan sesuatu itu? Kita tidak perlu terjun ke dalam air untuk mengetahui kedalamannya.
Adalah lebih baik kita renungkan dahulu sebelum anda nekad memilih kerajaan baru. Benarkah pembangkang boleh diharapkan untuk membentuk kerajaan yang lebih baik? Bencikan pemerintah dan nekad untuk menukarnya tanpa memikirkan akibat-akibatnya lebih lanjut, itu adalah tindakan dangkal dan bodoh, kerana hakikat sebenarnya, jika kerajaan buruk tidak semestinya yang melawan kerajaan itu benar dan lebih baik.
Maka, jangan mudah terpedaya dan keliru. Kita mungkin telah ditunjukkan saban hari dengan keburukan kerajaan, sama ada ia benar atau tidak, sehingga kita melupakan perkara-perkara lain, dan membuat kita buta dalam bertindak.
Mengetahui keburukan dan kezaliman pemerintah adalah mudah kerana mereka yang memerintah dan kita dapat menilai tindakan semasa mereka, tetapi bagaimana pula untuk menilai dan mengenal pembangkang?
Pembangkang adalah perlu dan tidak boleh boleh dipandang remeh. Kerana adanya pembangkang, kerajaan tidak boleh berbuat sesuka hati mereka, kerana kita ketahui kuasa tanpa had boleh merosakkan negara.
Sebaliknya jika pembangkang hanya menjadikan matlamat mereka menjatuhkan kerajaan tanpa memikirkan akibat-akibatnya, negara akan bertambah rosak.
Bagaimanakah keadaan itu akan berlaku?
Kita perlu akui, sama seperti kerajaan, pembangkang juga mestilah bertindak untuk kebaikan rakyat dan negara. Apa-apa yang mereka lakukan mestilah mengutamakan kepentingan dan kebaikan untuk rakyat walaupun mereka menghadapi risiko kalah dalam pilihanraya.
Adalah tidak wajar kemenangan menjadi tujuan utama mereka. Nampak pernyataan ini seperti tidak masuk akal, bukan? Ya, apa guna bertanding dalam pilihanraya jika tidak mementingkan kemenangan?
Saya ingin bertanya pula pada anda, apa guna kemenangan jika ia tidak ubah seperti kemenangan Pak Kaduk yang menang kampung tergadai? Itu pun jika pembangkang benar-benar ikhlas berjuang untuk rakyat.
Anda tahu cerita klasik ini, tetapi apakah yang  saya mahu maksudkan di sini?
Ya, apa guna kerajaan bertukar jika orang-orang Melayu terpaksa berkongsi kuasa dengan orang-orang bukan Islam (benar, kerajaan Barisan Nasional juga berkongsi kuasa dengan MCA, tetapi mereka yang mengetuai kerajaan), fahaman-fahaman sesat seperti liberal, sekular, pluralisme mendapat tempat, bahkan lgbt pun terima. Saya sekadar sebutkan beberapa contoh.
Hari ini, pembangkang Melayu, kerana mahukan kemenangan, telah bersikap lembut dan menikus dalam hal-hal seperti ini. Anda boleh melihat situasi ini selepas pembangkang merebut banyak kerusi di Parlimen dan menerajui beberapa buah negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang, bagaimana kebiadapan orang-orang bukan Islam, munculnya fahaman-fahaman sesat yang mengacau minda orang ramai.
Pernahkah anda mendengar pemimpin pembangkang mengecam perkara ini secara terbuka dan menjadikan masalah ini sebagai tumpuan mereka? Tidak, minda mereka hanya memikirkan faedah politik. Seolah-olah apa saja yang berlaku tidak mengapa, asalkan kerajaan dapat ditumbangkang.
Ramai tokoh yang membawa fahaman-fahaman pelik dan merosakkan ini yang menyebelahi pembangkang, atau paling tidak, mereka ini membawa suara-suara yang menentang kerajaan. Jadi, anda boleh fikir sendiri kaitannya.
Di Malaysia hari ini, kerana perpecahan dalam kalangan orang-orang Melayu, orang-orang bukan Islam mulai mengambil kesempatan. Agenda-agenda luar juga mulai masuk. Itu adalah perkara biasa. Di dalam suasana tidak stabil, akan wujud pihak yang menangguk di air keruh.
Bahkan pembangkang sendiri ada yang melibatkan dan menggalakkan campurtangan kuasa asing ini dalam banyak isu untuk menjatuhkan kerajaan. Adakah ini tindakan yang bagus? Tidak perlu belajar imu politik yang tinggi untuk mengetahui semua ini adalah tindakan bacul dan tidak bermoral sebagai seorang warganegara.
Satu lagi contoh mudah yang boleh anda fikirkan adalah sikap pembangkang yang berubah-ubah sehingga menampakkan mereka bukanlah berjuang untuk kebaikan dan keadilan rakyat. Dahulu mereka melawan habis-habisan Tun Dr Mahathir yang mengetuai kerajaan. Pelbagai dakwaan dan gelaran ditujukan kepada beliau. Ia sebagaimana yang dihadapi oleh kepimpinan kerajaan masa kini. Tetapi, hari ini mengapa mereka boleh bersekongkol? Apakah perjuangan sebenar mereka?  Tidakkah anda berasa pelik?
Jika perjuangan mereka adalah demi menegakkan keadilan, sudah tentu mereka menolak Tun Dr Mahathir yang mereka pernah dakwa korup, menyalahguna kuasa dan merompak kekayaan negara puluhan tahun.
Dari sini anda boleh berfikir, jika anda mahu berfikir, bahawa perjuangan mereka hanyalah mahu menjatuhkan kerajaan semata-mata, bukan perjuangan untuk rakyat. Mereka mempergunakan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan. Jika mereka benar-benar tulus, mereka tidak akan menggunakan “syaitan” untuk menjatuhkan “syaitan”.
Ia sebenarnya kerjasama untuk kepentingan diri mereka dengan mengekploitasi anda sebagai rakyat. Apa yang dipentaskan adalah lakonan untuk mengaburi mata rakyat.
Akhirnya, anda hanya dipergunakan oleh politikus-politikus ini untuk mencapai kepentingan peribadi mereka, sedangkan untuk anda kembali kepada keadaan asal negara ini adalah  sukar.
Anda boleh bersorak dan bergembira kerana berjaya menjatuhkan kerajaan, tetapi realiti sebenarnya, setelah melihat hujah-hujah saya tadi, anda patut tahu yang anda sebenarnya telah dieksploitasi oleh sekumpulan politikus pembangkang untuk mencapai matlamat peribadi mereka semata-mata, dan mereka bukannya berjuang untuk anda. Mereka memanipulasi kelemahan dan keburukan kerajaan untuk menaikkan diri mereka dan anda hanya dijadikan alat.
Itulah hakikat yang perlu anda fikirkan.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :