IPOH: Kertas siasatan berhubung kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang dipercayai akibat didera rakan, akan diserahkan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata siasatan berhubung kes itu kini berada di peringkat akhir dan pihaknya sudah mengenal pasti punca kejadian itu.
Bagaimanapun, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai kes itu kerana siasatan masih dilakukan.
"Saya tidak mahu mendedahkan motif (penderaan) itu kerana mahkamah yang akan menentukannya, tetapi tentunya polis mengetahui sebab di sebalik kejadian itu.
"Siasatan akan dilengkapkan dan akan dibentangkan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas Program Singgah Sahur Nur Ramadan di Balai Polis Pekan Baru, di sini pagi ini.
Zulfarhan, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lalu dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakan.
Mangsa dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan kaki akibat ditekap dengan seterika wap yang dipercayai didera pada 20 dan 21 Mei lalu. - BHOnline