CYBERJAYA: Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) menyasarkan untuk menjana kira-kira RM100 juta dalam pewujudan nilai dalam tempoh dua tahun akan datang menerusi cabaran inovasi anjuran perbadanan untuk syarikat pemula niaga.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ashran Ghazi berkata program seperti 'MaGIC Corporate Entrepreneurship Responsibility (CER) Circle' dan 'MaGIC Activate' menerusi platform MaGIC CER membolehkan perbadanan dan usahawan meningkatkan pertumbuhan mereka.
"MaGIC CER Circle ialah platform 'keahlian' yang menghubungkan perbadanan dan syarikat pemula niaga, dan membantu mereka memanfaatkan teknologi dan membangunkan projek-projek inovatif secara berterusan menerusi usaha sama.
"MaGIC Activate ialah ruang untuk membantu perbadanan untuk menganjurkan cabaran inovasi, kontrak perintis atau pelaburan berpotensi untuk sampai kepada lebih banyak syarikat pemula niaga dan usahawan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program MaGIC CER Circle dan MaGIC Activate oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan, di sini hari ini.
'Kami menjangkakan dapat mengumpul minimum RM2 juta dalam pewujudkan nilai bagi setiap cabaran menerusi MaGIC Activate," katanya dan menambah pada masa ini terdapat 22 rakan korporat uang menawarkan cabaran inovasi termasuk AIA, CIMB, IBM dan IJM Corp.
Sementara itu, pada pelancaran tersebut Ahmad berkata CER akan menjadi penggerak untuk korporat sektor terlibat dalam pembangunan usahawan, yang merupakan semangat kerja berpasukan Malaysia dalam memacu pertumbuhan negara.
"Saya mahu perbadanan dan usaha lain di Malaysia menyertai inisiatif ini, terutama MaGIC CER Circle dan MaGIC Activate, selain meneroka cara untuk meraih manfaat daripada program ini," katanya. - BERNAMA