Buruh maut terkena mesin pencanai besi ketika di hotel yang baru beroperasi di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.
Menurut sumber-sumber, mangsa, Tan Soon Hock, 45, beralamat di Muar, Johor itu, melakukan kerja mencanai dibantu tiga pekerja warga asing, sebelum kejadian pada 6.30 petang semalam.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lans Koperal (PA) Hakim Marjaafar, berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.30 petang.
“Sebaik tiba, kita dapati mangsa tidak sedarkan diri dan tidak memberi tindak balas. Bantuan kecemasan diberi namun mangsa masih tidak bertindak balas.
“Kami kemudian menghubungi polis dan pihak hospital. Pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa maut,” katanya di lokasi kejadian, malam tadi.
Menurutnya, mangsa dipercayai melakukan kerja mencanai di atas bumbung (owning).
Katanya, mendiang kemudian turun dari bumbung itu selepas pencanai terkena paha kiri dan menyebabkan pendarahan teruk.
Hakim berkata, kes terbabit kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan mayat mangsa dihantar polis ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.-myMetro