PARIS: Pakar gelanggang tanah liat, Rafael Nadal terlalu handal untuk diatasi ketika dia mudah membenam cabaran pilihan ketiga dari Switzerland, Stan Wawrinka 6-2, 6-3, 6-1 untuk mencipta rekod 10 gelaran Terbuka Perancis, semalam.
Pilihan keempat itu, yang hanya tewas dua perlawanan di Roland Garros sejak penampilan pertama pada 2005, kini hanya kurang satu berbanding catatan rekod Margaret Court dengan 11 gelaran grand slam.
Nadal, yang menang keseluruhan 15 grand slam, tidak diberikan sebarang tekanan dalam aksi final itu.
Dia meraih Piala Musketeers tanpa mencicirkan satu set dalam kejohanan itu buat kali ketiga, hanya tewas 35 game dalam usaha mencipta gelaran yang digelar 'La Decima'.
Wawrinka, yang memenangi tiga final major sebelum ini, tewas pada mata penamat kedua apabila bola pukulan kilasnya terkandas di jaring.
"Sukar dipercayai; untuk menang buat kali ke-10 adalah menakjubkan, ia sangat istimewa," kata pemain Sepanyol itu selepas final.
"Saya sangat emosi. Saya cuba yang terbaik dalam semua acara tetapi perasaan yang saya rasakan di sini adalah sesuatu yang sukar digambarkan." - REUTERS