OIC Kutuk Serangan Kejam Di London



KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya serangan 'pengecut' di London Bridge dan Borough Market di tengah kota London pada Sabtu, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya tujuh terbunuh dan ramai mangsa cedera.

Setiausaha Agung OIC Dr Yousef Al-Othaimeen dalam satu kenyataan pada Ahad menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, kerajaan dan rakyat United Kingdom (UK) serta berharap mangsa yang cedera segera pulih.

Beliau menyifatkan serangan kejam itu bertentangan dengan nilai kemanusiaan.

Beliau turut menegaskan adalah menjadi prinsip dan pegangan OIC menolak sebarang bentuk perbuatan keganasan.

Mengikut laporan, insiden serangan berlaku apabila penyerang yang menaiki sebuah van merempuh pejalan kaki di London Bridge, disusuli tiga penyerang kemudiannya mula menikam orang awam secara rambang.

Kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut. Setakat ini, polis menahan 12 suspek untuk siasatan kes berkenaan.

Serangan kali ini berlaku hampir dua minggu selepas insiden serangan bunuh diri di Manchester dan hanya beberapa hari sebelum berlangsungnya pilihan raya umum UK.- BERNAMA

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :