Polis Terbuka Terima Aduan Menerusi Laman Sosial



JOHOR BAHRU: Polis terbuka dalam menerima sebarang aduan yang dimuat naik menerusi laman media sosial, selagi ia tidak mengaibkan pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah menjalankan siasatan walaupun sesuatu aduan berkenaan dimuat naik dalam laman sosial.

Bagaimanapun katanya, polis boleh mengambil tindakan sekiranya aduan berkenaan mempunyai unsur atau bersifat memburukkan imej pasukan itu.

"Kita (polis) terbuka sekiranya ada pihak yang memuat naik sebarang aduan atau pun maklumat menerusi media sosial.

Namun, perlu dipastikan setiap maklumat atau aduan yang dimuat naik itu benar-benar sahih dan bukannya berniat untuk mengaibkan pihak polis," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Asisten Superintendan (ASP) dan Sarjan peringkat Johor di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang pemimpin DAP Johor yang memuat naik senarai lokasi pusat judi haram di kawasan Gelang Patah dalam laman Facebook miliknya, baru-baru ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, beliau juga sudah mengarahkan semua ketua polis daerah supaya mengambil tindakan sekiranya aduan berkenaan wujud.

"Arahan saya jelas, memang polis akan bertindak sekiranya wujud pusat judi haram di mana-mana kawasan. Saya juga sudah memberi arahan kepada semua ketua polis daerah untuk memantau serta menjalankan operasi," katanya - BH

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :