JASIN: Mayat seorang lelaki berusia 51 tahun ditemui tertiarap dalam bilik kediamannya di tingkat satu sebuah kedai serbaneka 24 jam, di Bemban, di sini, hari ini.
Difahamkan, mangsa yang juga seorang duda dipercayai sudah meninggal dunia di dalam bilik tidurnya, kira-kira dua minggu lalu.
Mangsa ditemui kira-kira jam 12 tengah hari tadi oleh pihak bomba dan polis selepas dimaklumkan oleh kakak mangsa yang risau sudah lama tidak dapat menghubungi mangsa.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata polis ke lokasi kejadian dan memecahkan pintu rumah kedai yang berkunci dengan bantuan bomba.
"Kejadian berkenaan dimaklumkan oleh kakak si mati selepas risau adiknya tidak dapat dihubungi sejak dua minggu lalu. Malah kakaknya juga memberitahu si mati menghidap penyakit asma.
"Pemeriksaan lanjut mengesahkan terdapat satu mayat dalam keadaan busuk di dalam bilik di rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian.
"Siasatan awal kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - BHOnline