Parti Amanah Negara (Amanah) mempertikai lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif dan lantikannya sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan.
Ahli jawatankuasa Amanah Nasional Mohamed Hanipa Maidin menjelaskan, Perkara 122 (1A) tidak membenarkan seorang bekas ketua hakim menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan pelantikan hakim tambahan yang akan berkuat kuasa selepas beliau bersara.
"Kenyataan ini silap dari segi undang-undang. Kita lihat kepada Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bahawa memang Yang di-Pertuan Agong boleh melantik hakim tambahan selepas mendapat nasihat daripada ketua hakim negara.
"Tapi yang saya hairan kenapa dia kata pelantikan setelah mendapat sembah daripada Tun Arifin. Tun Arifin dah bersara. Apabila dah bersara dia bukan ketua hakim negara lagi.
"Tiba-tiba kerajaan kata pelantikan Tan Sri Md Raus sebagai hakim tambahan atas nasihat ketua hakim. Tun Arifin bukan ketua hakim lagi," katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara di ibu negara hari ini.
Beliau menegaskan, Amanah tidak mempertikai keputusan kerajaan mengekalkan Raus dan Zulkefli yang dibuat mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.
"Lantikan sebelum dia jadi hakim tambahan itu memang Tun Ariffin boleh nasihat. Yang itu Amanah tak pertikai. Itu tak ada masalah.
Read More / Baca Lagi >>