Audit: Keputusan Melaka beli semula hotel bawa kerugian RM4.6 juta

Kerajaan Melaka mahu mengaut keuntungan dari penjualan Hotel MITC tetapi pembeli gagal membuat pembayaran.
audit-melaka
Ketua audit negara menyifatkan keputusan sebuah agensi kerajaan Melaka untuk membeli semula sebuah hotel yang dijualnya 13 tahun dahulu menyebabkan kerugian sebanyak RM4.57 juta.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang diterbitkan semalam, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) membina Hotel MITC di Ayer Keroh pada 2002, dan siap dibina 2 tahun kemudian pada kos RM15.94 juta.
Pada 2004, PKNM menjual hotel itu kepada Syarikat Intelek Edaran (SIE) untuk RM22 juta, dan perjanjian dicapai pada 28 Julai 2004 di mana SIE akan membayar 10% selepas menandatangani perjanjian itu, dengan baki dibayar secara berjadual untuk tempoh 10 tahun.
Penalti 10% dikenakan untuk pembayaran lewat. SIE juga mengambil pinjaman RM15 juta dari SME Bank Berhad untuk tujuan pembelian itu.
Pada 2005, SIE gagal melangsaikan bayaran sebanyak RM4.71 juta dan merayu PKNM membuat perjanjian tambahan untuk satu jadual pembayaran semula baharu untuk tempoh 15 bulan berkuatkuasa Jun 2005, dengan penalti 5% dikenakan untuk pembayaran lewat.
Audit mendapati meskipun SIE berhutang baki RM4.71 juta dengan PKNM, pemilikan hotel tersebut di atas geran sudah bertukar.
Selepas 11 tahun, SIE masih berhutang sebanyak RM3.16 juta dengan PKNM, dan dengan hotel tersebut berdepan perampasan dan SIE diancam penutupan, PKNM memulakan rundingan untuk membeli semula hotel itu.
Keseluruhannya, PKNM kerugian RM4.57 juta dalam bentuk tunggakan dan penalti lambat yang terhutang kepadanya, bayaran faedah dan kos guaman.
Laporan audit itu berkata berdasarkan sebuah memo pada 2016, pengurusan PKNM dan pengerusinya, Datuk Seri Idris Haron, yang juga ketua menteri Melaka, membincangkan pembelian semula hotel itu untuk RM19 juta seperti yang dipersetujui dengan pihak bank.
Pembelian hotel itu akan dilakukan dengan pinjaman bank sebanyak RM25.70 juta, termasuk RM17 juta untuk membeli semula hotel itu, RM7.56 juta untuk kos pengubahsuaian dan RM1.14 juta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Keseluruhan pembayaran semula pinjaman itu ialah RM50.70 juta termasuk RM25 juta faedah,” kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: