Bukit sama didaki, lurah sama dituruni; begitulah usaha DS Nizar mendamping rakyat

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni; begitulah usaha DS Nizar mendamping rakyat
Sejak dua tahun lalu Biro Pilihanraya Kawasan Gopeng telah menyusun pelbagai program untuk memudahkan DS Nizar menemui rakyat di sekitar Dun Sungai Rapat. 

 Di pihak DS Nizar pula, beliau sentiasa mematuhi aturcara yang telah disusun untuknya tanpa banyak kerenah. Ini adalah kerana sikap beliau yang terbuka, mudah diajak berbincang dan boleh menerima cadangan dan pandangan dari orang bawahannya.Memang mudah bekerja dengannya!

 Paling istimewanya watak DS Nizar ini ialah ialah kesanggupan beliau mengorbankan banyak masanya untuk bersama petugas-petugas dalam gerakerja pilihanraya. 

Bersarapan pagi dan berdailog dengan DS Nizar
 Beliau akan bersama untuk melakukan 'Jejak Pengundi', menganjurkan Sarapan Pagi dan berdailog bersamanya di gerai-gerai makanan , melakukan ziarah kebajikan untuk menyampaikan sedikit bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik, juga turut hadir bersama untuk menghormati jenazah bila dimaklumkan ada kematian. 

  Dan ada kalanya dia diberikan penghormatan oleh waris keluarga jenazah untuk mengimamkan solat jenazah.

  Beliau juga sering mengunjungi masjid dan surau secara bergilir-gilir di sekitar kawasan Dun Sungai Rapat ini. Seringkali juga beliau diminta untuk mengimamkan solat rawatib dan juga solat Jumaat.

DS Nizar menyampaikan tazqirah tanpa terbawa-bawa
 politik kepartian
Adalah menjadi kebiasaan DS Nizar untuk menyampaikan sedikit tazqirah selepas solat rawatib. Ramai yang memuji tentang cara penyampaian tazqirahnya kerana tidak melibatkan politik kepartian walaupun dia sememangnya seorang ahli politik.

Pagi tadi saya berkesempatan turut serta mengiringi rombongan DS Nizar dan isterinya, Datin Fatimah Taat melakukan ziarah kebajikan ke beberapa rumah di sekitar Kampung Pisang di Batu Gajah.

 Antara rumah yang kami kunjungi pagi tadi ialah rumah mantan Ketua Kampong Pisang (bekas aktivis umno), Encik Dahayat.

  Walaupun beliau dalam keadaan yang agak uzur namun beliau kelihatan ceria dan sangat mesra mengalu-ngalukan kunjungan kami ke rumahnya.

En Dahayat (kiri) dan isteri (membelakangi kamera) sedang
berinteraksi dengan Ust Azizi diperhatikan oleh DS Nizar.
 Menerusi perbualan kami dengan isterinya tadi, kami semua turut rasa terharu apabila dimaklumkan bahawa En Dahayat ini begitu berhajat sangat untuk mendengar khutbah Jumaat  sebagaimana orang lain... Beliau berhajat sangat untuk memperolehi sepasang alat pendengaran.

  Menurut isterinya, mereka pernah meminta Baitul Mall untuk membantunya tetapi hanya mendapat pelbagai alasan sebagai balasannya. Apa yang mampu keluarga miskin ini lakukan...

En Dahayat mengaminkan hasrat DS Nizar yang menulis :
"Insya Allah kami akan usahakan alat pendengaran"
  Simpati mendengar keluhan keluarga tersebut, DS Nizar mencoretkan sesuatu di papan tulisnya lalu diunjukan kepada En Dahayat :
"Insya Allah kami akan usahakan alat pendengaran"
 Tulisan ini ditatap olehnya dengan penuh pengharapan lalu beliau menadah tangannya, "Amin, amin...amin," ucapnya berkali-kali. Sama-lah kita doakan hajat mereka kesampaian nanti.

  DS Nizar turut menjelaskan yang beliau sekarang telah bersama parti baru AMANAH dan tidak lagi bersama dengan parti lamanya dulu.

   En Dahayat menyatakan minatnya untuk bersama-sama  AMANAH. Beliau tanpa segan lalu bertanyakan borang dan minta diberikan baju AMANAH. Kami berjanji akan menemuinya semula sedikit hari nanti.

  Kemudian DS Nizar berinteraksi melalui tulisan yang antaranya adalah seperti berikut :
+ "AMANAH bertanding di sini nanti?"
-  " Insya Allah AMANAH letak  calon di sini."
+ "Siapa calon AMANAH ?"
-  "Yob mahu siapa?"
+ " Datok lah"

 Nizar tersenyum simpul tak sempat pun nak tulis apa-apa pada papan tulis kerana En Dahayat terus menggenggam erat tangan DS Nizar  sambil meluahkan kata-kata dengan penuh harapan :

" Datok kena bertanding di tempat ini. Saya akan bantu Datok nanti." janjinya kepada DS Nizar dengan penuh kesunggohan.

 Lewat petang tadi setelah kami kembali dari sana, Ust Azizi telah menerima wassap dari En Dahayat seperti berikut :
Assalamualaikom,

Kepada :

YBhg Dato’Seri Hj Mohd Nizar Jamaluddin (Bakal Calon DUN Sg Rapat).

 “Dengan rasa terharu dan amat teruja sekali pada pagi ini hamba datok ditakdirkan  menerima kunjungan Dato’ Seri dan isteri serta rombongan Amanah Gopeng. Tidak terhingga hamba datok memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada sahabat hamba datok Tuan Azizi bin Li yang menguruskan pertemuan ini.

 Sesungguhnya sudah sekian lama hamba datok dihimpit kesepian dalam kehidupan yang dilalui…. tiada teman tiada kawan tiada sahabat yang sudi menjenguk dan menghampiri diri hamba datok yang dimamah usia ini….

 Hamba datok berasa amat bangga sekali kerana Dato’ Seri sudi menjadi warga DUN Sg Rapat ini dan sudi juga untuk menjadi calon pilihanraya nanti.

 Hamba datok mendoakan semoga hasrat murni Dato’ Seri akan mendapat restu dan diperkenankan oleh Allah hendaknya.

 Sebenarnya hamba datok amat teringin untuk dapat berbual mesra dengan Dato’ Seri tapi apakan daya pendengaran hamba datok tidak mengizinkan…. Hanya melalui tulisan sahaja yang dapat hamba datok lakukan untuk berinteraksi…

 InsyaAllah hamba datok akan cuba untuk menyampaikan sedikit sebanyak pandangan dan pendapat bagi membantu usaha murni Dato’ Seri di lain masa yang sesuai jika diizinkan Allah kelak....

 Sekian. Wassalam.

 ☝☝tulong sampaikan kepada Dato' Seri Nizar
  Daripada saudara Dahayat Al malak yg kita ziarah pagi tadi; jelas Ust Azizi.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :