Beliau berkata naib presiden PKR itu kekeringan idea dan terpaksa bergantung pada jelajah selepas skandal 1MDB gagal menarik pengundi.
“Itu cubaan terdesak. Lihat saman pertama Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) terhadap 1MDB.
“Ada sesiapakah didakwa sehingga hari ini. Presiden AS Donald Trump sendiri tidak percaya pada DoJ,” katanya pada majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri jabatan itu di Kota Kinabalu, hari ini.
Turut hadiri ialah Ketua Menteri Sabah Musa Aman dan Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah Sapawi Ahmad.
Dalam saman ketiga dan terbaru, DoJ mendedahkan AS$540 juta digunakan untuk membeli pelbagai aset dan antaranya ialah kapal layar, lukisan dan rantai berlian merah jambu berharga AS$27 juta.
Rantai itu dibeli untuk isteri “Malaysian Official No. 1”.
Puad berkata Malaysia bukan negara gagal seperti didakwa Rafizi, dan berkata kerajaan ada semua laporan menunjukkan ekonomi berjalan agak baik pada masa ini.
Katanya, jelajah "Jom Bina Semula Negara" sepatutnya dipanggil "Jom Binasakan Negara".
Beliau berkata Rafizi seorang penipu kerana mempunyai empat sabitan kesalahan menunjukkan beliau sering bercakap bohong dan fitnah.
“Tetapi rakyat tidak bodoh untuk mempercayainya. Keputusan Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikannya,” katanya.
Pakatan Harapan kalah teruk dalam pilihan raya kecil itu tahun lalu menyaksikan BN kekal di kedua-dua kerusi dengan majoriti 9,191 pengundi di Sungai Besar dan 6,969 di Kuala Kangsar.