Saya yang langsung tidak celik politik Myanmar, terpaksalah membaca supaya tidak kelihatan bodoh asyik hangguk tanpa memahami ekor kepala dan biji butir sembang-sembang pemerhati politik antarabangsa seperti Mandeep.
Liga Demokrasi Kebangsaan (National League for Democracy, NLD) adalah parti yang diasaskan Suu Kyi lewat September 1988 dengan ideologi tengah-kiri; seperti juga DAP.
Ini selepas beliau terpaksa pulang dari England untuk menjaga ibunya yang uzur. Takdir menentukan, Suu Kyi harus terjun menyertai politik di tengah dahaga rakyatnya yang mahukan demokrasi. Mereka mahu anak kepada Aung San, bapa Myanmar moden ini, memimpin mereka.
Suu Kyi dikenakan tahanan rumah pada Julai ‘89, hampir setahun selepas NLD ditubuhkan. Ditawarkan kebebasan jika beliau meninggalkan Myanmar dan tidak kembali lagi, beliau tidak mahu. Beliau terus dikurung selama 15 tahun sepanjang tempoh 21 tahun, terpisah dari anak dan suami. Hanya berucap dari sebalik pagar.
Pun begitu, iradat rakyat tidak boleh ditahan-tahan. Demokrasi bukan soal sosok pimpinan, tetapi keinginan untuk bebas, megecapi kemakmuran dan keadilan.
NLD menang besar dengan memperolehi ‘super majority’ sebanyak 86% kerusi, membolehkan calonnya dilantik menjadi presiden; manakala Suu Kyi dilantik menjadi ‘State Counsellor’, kepala kerajaan de facto Myanmar. Pertama kali dalam tempoh 54 tahun, seorang yang bukan anggota tentera menjadi ketua kerajaan.
Dalam pilihanraya 2015, NLD menggunakan slogan rasmi ‘Time for Change’. Masa untuk berubah. Tidak jauh beza dengan slogan ‘Ubah’ yang digunakan gabungan pembangkang pada pilihanraya umum 2013 di tanah air.
Namun kata Mandeep kepada saya, slogan yang lebih banyak kelihatan adalah ‘We Must Win’.
Kita mesti menang
“Mana-mana saja aku pergi, aku nampak slogan We Must Win.
“T-shirt yang aku beli pun tulis ‘we must win’. Bukan ‘time for change’,” kata Mandeep lagi, lebih kurang.
Bagi saya slogan itu melambangkan keterdesakan rakyat dan politik Myanmar yang sudah puluhan tahun ditindas rejim tentera tanpa diberikan hak memilih dalam erti kata yang sebenar. Pada pilihanraya tahun 1990 NLD menang 392 daripada 492 kerusi. Kerajaan junta enggan mengiktiraf keputusan tersebut dan terus metadbir negara.
Myanmar pada 2015 tidak jauh beza pula dengan kita di Malaysia di ambang pilihanraya umum ke 14, entah berapa bulan, atau minggu sahaja lagi.
Keterdesakan Myanmar bererti ia tidak mempunyai pilihan kecuali untuk bekerja sehingga ia menang. Bukan sekadar lawan kerana melawan, tetapi lawan sampai menang. Bukan takat seronok melawan, tapi tak menang-menang.
Read More / Baca Lagi >>