Baru-baru ini saya telah menghadiri satu forum yang dianjurkan oleh pertubuhan Kairos Dialogue Network. Panelis-panelis adalah Bishop Emeritus Dr. Hwa Yung dan Dr. Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan Reverend Dr. Sivin Kit sebagai moderator.
Antara perkara yang yang menarik yang diutarakan oleh Reverend Dr. Hwa ialah gerakan Evangelikal Kristian di Malaysia adalah tidak sama dari segi pendirian politik dengan gerakan Evangelikal Kristian di Amerika Syarikat.
Di samping itu ahli gerakan Evangelikal Kristian di Malaysia tidak bersetuju dengan rancangan mengadakan upacara Golden Jubilee yang merayakan kejatuhan Jerusalem atau Baitul Maqdis ke tangan Israel.
Ini kerana mereka sedar akan sensitiviti orang Islam di Malaysia. Mereka juga tidak semestinya bersetuju seratus peratus dengan semua tindakan kerajaan Israel. Bahkan Dr. Hwa menyatakan beliau mengenali beberap orang paderi Kristian Palestin dan oleh itu sedar akan kesengsaraan rakyat Palestin akibat tindakan rejim Zionis Israel.
Beliau oleh itu menegaskan bahawa kebanyakan atau majoriti dari penganut Kristian di malaysia dan di dunia adalah bukannya penyokong gerakan Zionis.
Dr. Maszlee pula memberi hujahan dari perspektif Islam. Beliau menceritakan beberapa isu yang menarik berdasarkan pengalaman peribadi serta kajian beliau. Antara lain beliau menyatakan bahawa Islam adalah agama yang sangat memberatkan aspek `keadilan’ dan ini dibuktikan oleh ayat Quran yang menyatakan dengan tegas bahawa Allah melarang orang Islam bersikap tidak adil kepada sesuatu kaum hanya kerana membenci kaum tersebut.
Dr. Maszlee kemudian menyatakan bahawa berdasarkan pengalaman beliau berinteraksi dengan penganut agama-agama lain, kebimbangan kepada usaha dakwah oleh golongan Evangelikal Kristian adalah bukan hanya di kalangan orang Islam sahaja bahkan juga di kalangan penganut agama Buddha, Hindu dan bahkan juga penganut agama Kristian dari kumpulan lain seperti Katolik atau Methodist. Dalam erti kata yang lain, kebimbangan dengan usaha dakwah oleh pihak Evangelikal Kristian bukannya sesuatu yang terpencil dan bukannya melambangkan kekurangan keyakinan orang Islam kepada agama mereka semata-mata.
Read More / Baca Lagi >>