Peningkatan 8,000 pengundi baru di kerusi Parlimen Permatang Pauh sejak 2015 merupakan berita baik kepada UMNO untuk merampas kembali kerusi yang dipertahankan oleh PKR.
Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata Pilihan Raya Umum ke-14 akan mengubah kerusi parlimen itu daripada “kawasan hitam” kepada putih.
Zaidi berkata berdasarkan maklumat pengundi baru menunjukkan lebih 80,000 pengundi di parlimen itu berbanding 72,000 pada Pilihan Raya Kecil 2015 di mana PKR berjaya mengekalkan kerusi itu.
Zaidi berkata peningkatan lebih 8,000 pengundi baharu itu juga adalah berita baik buat Barisan Nasional.
“Antara 7,000 pengundi baharu ini adalah Melayu, yang mana kebanyakannya didaftarkan Umno melalui pendaftaran pemilih yang dijalankan. Pengundi baharu Cina hanya dalam 700 orang.
“Kebanyakan pengundi baharu ini adalah golongan belia dan pengundi kali pertama, yang memainkan peranan penting untuk menentukan pihak mana yang akan menang kerusi ini,” katanya.
Zaidi yang memegang jawatan itu sejak empat tahun lepas berkata, maklum balas yang diterima daripada masyarakat tempatan dan juga media sosial pada ketika ini adalah sangat positif.
“Terdapat komen di media sosial yang mengatakan Umno bertambah kukuh dan mempunyai lebih peluang berbanding parti Melayu lain,” katanya.
“Ini adalah masa terbaik untuk merampas kembali kerusi ini, Sebelum ini tiada yang pernah menyatakan kita mampu rampas kembali kerusi ini tapi kini mereka yakin kita mampu.
Malah katanya, UMNO Bahagian Permatang Pauh juga turut yakin dengan kehadiran Perdana Menteri Najib Razak untuk satu program pada 17 Ogos depan merupakan satu tanda positif.
Umno turut berharap masalah dalaman PH dan kehilangan rakan sekutunya PAS akan memudahkan lagi Barisan Nasional dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.
PAS secara rasminya memutuskan kerjasama dengan PKR pada Mei lalu, kira-kira dua tahun selepas ia memutuskan hubungan dengan DAP berhubung isu hudud. Peranan Islam dan Melayu PAS dilihat diambil alih Amanah dan parti pecahan Umno Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).