Dr M mahu berlagak pejuang, ini akibatnya, sembang Nazri

Nazri Aziz turut mempersoalkan pihak berkuasa membenarkan program Nothing to Hide sedangkan debatnya bersama Dr Mahathir dilarang polis.
nazri-mahathir
Datuk Seri Nazri Aziz hari ini berkata kekecohan pada forum “Nothing to Hide” anjuran PPBM Ahad lepas adalah sesuatu yang dapat dijangka, sambil berkata ia berpunca daripada Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.
“Dia mahu jadi pejuang jalanan, dia nak berlagak kuat, inilah akibatnya,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu.
Nazri turut menolak dakwaan Umno terlibat dalam kekecohan itu.
“Semuanya dituduh ke atas Umno. Mengapa perlu buang masa pertunjukan bodoh seperti ini?” katanya.
Forum anjuran Pemuda PPBM di Shah Alam 2 hari lalu terpaksa ditamatkan selepas suar dan objek lain dibaling ke arah Dr Mahathir.
Ia disusuli aksi baling kerusi dan tumbuk menumbuk melibatkan penyokong PPBM dan beberapa remaja yang dituduh mencetuskan huru hara.
Polis menahan 3 remaja yang diberkas penganjur, dan kecederaan ringan melibatkan beberapa hadirin dilaporkan.
Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman sebelum ini berkata pihaknya menjumpai baju T palsu yang dipakai sekumpulan remaja yang berkelakuan meragukan pada forum itu.
Nazri mempersoalkan bagaimana forum tersebut dibenarkan pihak berkuasa, sedangkan debat bersama Dr Mahathir tidak lama dulu gagal mendapatkan permit polis.
“Tetapi untuk sesuatu yang bodoh macam ini, polis beri permit.”
Nazri turut berkata Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos perlu dibenarkan menganjurkan program “Nothing to Hide 3.0”, seperti diumumkan semalam.
“Kalau pembangkang boleh, mengapa tidak Jamal?”

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :