PAS berasa hairan kenapa partinya dituduh sengaja mengungkit peristiwa Memali, walhal isu itu dibangkitkan ahli akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada forum 'Nothing to Hide 2.0' Ahad lalu.
Ketua Dewan Ulama PAS, Dr Mahfodz Mohamad berkata, kenyataan Timbalan Presiden PAN bahawa PAS sengaja membangkitkan isu itu untuk meraih undi sebagai tidak masuk akal.
"Isu Memali ini belum selesai, tidak diselesaikan daripada dahulu. Sebenarnya yang menimbulkan balik bukan orang PAS. Semua orang pun tahu siapa yang mencetuskan persoalan itu (Memali). Jadi bila ada cadangan untuk disiasat balik, itu satu benda yang bagus.
"Daripada dulu memang kita dah minta Dr Mahathir sekurang-kurangnya meminta maaf, tapi (Dr Mahathir) tak buat juga. Bila orang ramai dah timbulkan benda tu, PAS sokong," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Peristiwa Memali yang berlaku pada 19 Nov 1985 menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.
Tragedi berdarah itu kembali hangat diperkatakan selepas Exco Armada PPBM, Taufik Abbas bertanyakan perihal Memali untuk dijawab Dr Mahathir pada forum 'Nothing To Hide 2.0' minggu lalu.
Banyak pihak melihat kegagalan Dr Mahathir menjawab isu sensitif itu sebagai punca berlaku kekecohan dalam forum berkenaan apabila peserta bertindak membaling botol air, kerusi, kasut dan menyalakan suar, sehingga memaksa program itu dihentikan serta-merta.
Mengulas lanjut, Mahfodz juga turut mendakwa kenyataan Salahuddin itu menunjukkan bahawa dirinya tidak mempunyai pendirian dan takut dengan ketua barunya itu iaitu Dr Mahathir.
"Kenapa sekarang bila dia (Salahuddin) sudah masuk dalam PH, dia tidak setuju pula? Sepatutnya sebagai bekas pimpinan tertinggi PAS, sikapnya tidak boleh berubah, jika dahulu isu itu disokong kenapa sekarang tidak lagi?
"Ya (Salahuddin takut) dengan DAP sebab berada dalam naugan mereka jadi tidak boleh bersuara tentang Islam, itu masalahnya. Dulu dia yang paling hentam cakap pasal Mahathir tapi bila Mahathir dah bersama dengan dia sekarang, dia takut pula," ujarnya.
Salahuddin semalam menuduh PAS sengaja mempolitikkan tragedi Memali untuk meraih undi orang Melayu pada PRU akan datang dan menganggap tragedi Memali itu sebagai satu perkara yang sudah berlalu.