Melihat risiko inilah maka beliau melantik Zahid Hamidi, Naib Presidennya untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri supaya mudah dikawal dan bila perkembangan politik merebakkan api dalam sekam, beliau segera memperkuatkan pertahanannya dengan melantik sepupunya Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.
Orang ramai, ahli parti dan Zahid sendiri dapat membaca dengan mudah signal yang dihantar oleh Najib.
Pendedahan Tun Dr.Mahathir bahawa Zahid datang meminta bantuannya untuk menjadi Perdana Menteri dalam keadaan Najib semakin tertekan tidaklah mengejutkan Najib sebaliknya menjadi blessing in diguise kepada hasratnya untuk menenangkan "keghairahan nafsu" Zahid yang mengetahui kekuatannya dalam parti.
Walaupun umum dan ahli parti terkejut dengan pendedahan Mahathir dan menjangkakan Najib akan bertindak keras dan tegas tetapi hal ini tidak mungkin berlaku dalam keadaan keruncingan parti dan Najib memerlukan perpaduan ahli dan juga sokongan rakyat.
Tetapi ini tidak bererti Najib tidak akan bertindak. Seperti bapanya Tun Abdul Razak , beliau berpegang kepada budaya politik yang berkesopanan, bersembunyian tangan dalam tindakan, berbijaksana menarik benang dalam tepung sambil menjampi ribut supaya tidak menjadi taufan.
Najib telah lama mengenali Zahid walaupun pernah renggang sekejap kerana Zahid mendekati Anwar. Zahid bukanlah pejuang yang mementingkan kepentingan rakyat tetapi lebih mengutamakan kedudukan dalam corridor of power dan demikian juga Najib yang survivalnya kerana kebijaksanaan mengambil kesempatan. Mereka mendukung nilai politik yang sama berbanding dengan Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir yang berani mengambil risiko dalam keadaan tercabar.
Sekarang Zahid dan Najib berkongsi falsafah politik yang sama dalam krisis politik terpendam anatara menyedari hakikat tidak mempunyai sokongan rakyat di luar parti berbanding dengan Mahathir dan Anwar apabila dalam "berperang", mereka percaya tidak sahaja kepada sokongan dalam parti tetapi juga rakyat di luar parti.
Najib telah pun berjaya menyingkirkan Muhyiddin tanpa tentangan dalam parti dan beliau juga akan berjaya memotong taring Zahid walaupun akan membiarkannya terus berada dalam tampuk kuasa sehingga Pilihanraya 14.
Mereka akan berada dalam keadaan mata berpandangan budi kedapatan
Zahid tidak lagi akan dapat beralih untuk meminta sokongan rakyat ke arah mencapai cita-cita menjadi MO1 kerana kredibilitinya telah dicemarkan oleh Mahathir. Reaksi umum terhadap pendedahannya mengenai keturunan Mahathir sangat buruk.
Dalam pada itu Najib tetap sedar dalam parti, Zahid lebih merbahaya dari Muhyiddin untuk menghadapi pemilihan pucuk pimpinan parti selepas pilihanraya akan datang kerana Zahid memegang undi popular parti berbanding dengan Hishammuddin Hussein.
Permainan politik Najib Tun Abdul Razak dan juga Zahid Hamidi akan semakin menarik untuk diperhatikan dari dekat oleh rakyat.