Lapan lagi individu sedang giat diburu pihak Polis Selangor bagi membantu siasatan kes insiden kekecohan ketika forum 'Nothing to Hide 2.0' anjuran PPBM, di sini pada 13 Ogos lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata sepanjang tempoh siasatan, seramai 14 orang direman termasuk tiga lelaki yang ditahan di tempat kejadian.
"Polis meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai lapan individu ini untuk tampil membantu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mereka adalah Muhammad Hafiz Azhar (nombor MyKad 880417-14-5749); Mohd Hafiz Azit (890924-08-6535) dan Donney Afzal Kaspullidzan (921118-14-5659), manakala identiti lima lagi individu belum dikenalpasti.
Fadzil berkata, orang ramai boleh berhubung terus dengan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222 atau Asisten Superintendan Yong Meng Heng di talian 019-5753399.
Forum anjuran PPBM itu bertukar menjadi kecoh apabila berlakunya insiden membaling kerusi ke arah pentas, disusuli rusuhan serta membakar suar kira - kira jam 5.30 petang.
Kes tersebut kini sedang disiasat mengikut seksyen 15(2) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 153 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.
Menurut laporan yang disiarkan sebelum ini, kekecohan itu berlaku selepas para peserta tidak puas hati dengan jawapan serta penjelasan yang dibuat oleh Pengerusi PPBM yang tidak menjawab soalan.
Namun, dari kenyataan yang dibuat oleh ahli serta pemimpin PPBM sendiri, insiden membaling kerusi yang menyebabkan berlakunya rusuhan itu bukan berpunca dari pihak luar.
Sebaliknya, tindakan mereka membaling kerusi dan menimbulkan kekecohan itu adalah untuk menghalang beberapa orang pemimpin parti itu dari bertanyakan soalan yang lebih lanjut kepada Pengerusi PPBM.