Pimpinan PSM mendakwa Pengerusi Pakatan, Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan taktik untuk menarik Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan mendapatkan undi India.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, A Arutchelvan berkata kerjasama itu cuma taktik politik untuk mendorong pengundi India menyokong gabungan itu pada pilihan raya umum akan datang.
Malah, PSM mendakwa langkah itu mengimbau kembali politik perkauman dalam Barisan Nasional, yang menampilkan wakil dari kalangan kaum India dan Cina yang berada di Malaysia.
“Apa yang mereka cuba lakukan ialah jadikan Hindraf wakil seperti MIC. Sama sahaja. Kami rasa sudah tiba masanya Malaysia tinggalkan politik kaum,” katanya.
Setiausaha Agung PSM Sivarajan Arumugam turut menyuarakan pandangan sama dan berkata langkah politik itu berdasarkan kepada kumpulan mana yang dirasakan PH mampu memberi undi yang banyak.
Bagaimanapun, wakil PSM itu mendakwa mereka tidak pasti apa agenda sebenar Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy kali ini melalui kerjasama yang dibincangkan dengan bekas Perdana Menteri itu.
“Semasa Waythamoorthy bekerjasama dengan BN, kerjasama itu berdasarkan kepada suatu pelan tindakan India untuk BN laksanakan. Kami tidak tahu butiran perbincangan antara beliau dan PH.”
Dalam masa yang sama, Sivarajan juga turut mendakwa kerjasama diantara Pakatan dan Hindraf nampaknya lebih menjurus kepada berapa banyak undi yang boleh orang India berikan kepada PH.
Selepas pertemuan 1 jam dengan Waythamoorthy baru-baru ini, Tun Mahathir akui masyarakat India tidak diwakili dengan sebaiknya dalam Pakatan, dan berharap sokongan gerakan itu penting untuk jentera gabungan itu berjalan dengan berkesan.