Keputusan mahkamah London minggu lalu membuktikan orang asing masih boleh menguatkuasakan keputusan mahkamah di sini kerana sistem kehakiman Malaysia masih utuh.
Begitu hasil daripada kegagalan editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown memaksa mahkamah dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang meletakkan sandaran lebih tinggi sebagai kos sebelum saman fitnah Hadi diteruskan.
Peguam Americk Sidhu berkata mahkamah pada ketika ini tidak yakin dengan kebimbangan Clare yang beliau akan berdepan kesukaran menguatkusakan keputusan untuk kos itu yang mungkin merupakan jumlah yang besar.
“Mahkamah di sana tidak percaya beliau tidak boleh menguatkuasakan keputusan atas alasan mungkin ada manipulasi politik dalam proses keadilan Malaysia,” katanya.
Americk, yang mengendalikan kes sivil, berkata demikian ketika diminta menjelaskan mengapa Clare diarah membayar Hadi 2/3 daripada kos Hadi apabila mahkamah di sana menolak permohonannya.
Setiausaha Politik Hadi Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini berkata, Clare sekarang perlu membayar £15,000 (RM83,700) kepada Hadi, dengan bakinya akan ditentukan mahkamah nanti.
Pemimpin PAS itu, yang memfailkan saman pada April, diarah meletakkan RM80,000 sebagai sandaran, sekiranya beliau tewas dalam kes terhadap Clare. Keputusan dibuat pada 2 Ogos lalu.
Firma guaman Carter-Ruck dan barister Jacob Dean, yang mewakili Hadi, berhujah ada undang-undang yang mantap antara United Kingdom dan Malaysia yang membolehkan Clare menuntut kos melalui mahkamah di Malaysia.
“Hujah Clare yang beliau tidak akan berjaya membawa saman ke atas Hadi di Malaysia kerana badan kehakiman, kerajaan dan perdana menteri yang korup dan bersubahat dengan Hadi ditolak mahkamah.
“Pada pemerhatian mahkamah, tuduhan-tuduhan yang serius ini tidak disokong oleh apa-apa bukti dari Clare pun, walaupun mempunyai beberapa bulan untuk menyediakannya.”
Editor Sarawak Report itu mahu Hadi meletakkan deposit £800,000 (RM4.47 juta) di mahkamah supaya beliau tidak perlu bergantung kepada mahkamah Malaysia untuk menguatkuasakan keputusan itu, kata Samsuri dalam kenyataan semalam.
Sekiranya Hadi menang saman itu, mahkamah akan memberi ganti rugi termasuk kos kepadanya. Bagaimanapun, jika hakim perbicaraan menolak kes itu, Clare hanya layak menerima kos.
Sebelum ini, pengasas Sarawak Report itu dilaporkan mengeluarkan artikel yang mendakwa pimpinan tertinggi PAS menerima sogokan sebanyak RM 90juta untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional. Clare mempunyai masa 21 hari untuk membela dirinya!!!