“Susulan pengumuman yang dilakukan pada 8 Ogos 2017, IPIC kini menerima dana yang diperlukan pada 12 Ogos 2017 untuk pelanjutan yang dipersetujui bersama Kementerian Kewangan (Perbadanan) Malaysia (MoF Inc) dan 1MDB.
“Sehubungan itu, MoF Inc dan 1MDB kini mempunyai masa sehingga 31 Ogos 2017 untuk melengkapkan tanggungjawab pembayaran yang sepatutnya dilaksanakan pada 31 Julai 2017 di bawah perjanjian penyelesaian dan pembayaran faedah kerana bayaran lambat,” kata IPIC dalam satu kenyataan.
The Malaysian Insight awal pagi hari ini melaporkan yang 1MDB sudah membayar bayaran pertama yang perlu dilakukan itu.
Ketua setiausaha perbendaharaan dan Pengerusi 1MDB Irwan Siregar Abdullah mengatakan yang IPIC melanjutkan tarikh tamat ke hujung bulan Ogos sekiranya 1MDB boleh membayar AS$310 juta pada atau sebelum 12 Ogos.
Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini menyifatkan kegagalan 1MDB untuk membayar hutang sebanyak AS$600 juta kepada IPIC yang sepatutnya dilakukan pada 31 Julai disebabkan “isu teknikal”, mendakwa kegagalan itu bukan kerana 1MDB tidak mempunyai wang.
"Soal IMDB kita sudah keluarkan kenyataan, maka itu soal teknikal saja, bukan sebab tak mampu bayar balik," kata Najib di Parlimen pada 2 Ogos lalu.
Susulan kegagalan pembayaran itu, 1MDB diberikan tempoh lima hari untuk membuat pembayaran atau akan dikenakan tanggungjawab tambahan.