1MDB dalam satu kenyataan hari ini berkata kesemua bayaran kepada IPIC itu akan menggunakan wang yang dikumpul menerusi pelan rasionalisasi 1MDB.
“1MDB masih lagi menunggu dana yang sepatutnya diterima pada Julai 2017. Berikutan keperluan mendapatkan kelulusan kawal selia tambahan, penerimaan dana itu ditangguhkan kepada Ogos, 2017.
“Memandangkan dana ini akan digunakan bagi tujuan pembayaran kepada IPIC, 1MDB mengemukakan makluman bertulis kepada IPIC mengenai komitmen kami untuk memenuhi obligasi yang pada asalnya dijadualkan pada 31 Julai, 2017 kepada Ogos, 2017.”
Laporan sebelum ini menyatakan pembayaran sebanyak US$602.7 juta (kira-kira RM2.6 bilion) daripada 1MDB kepada IPIC adalah sebahagian daripada penyelesaian hutang.
Pelabur negeri Abu Dhabi, Mubadala berkata, pihaknya belum menerima maklumat daripada bank berhubung kelewatan bayaran daripada 1MDB berikutan tarikh berakhir.
1MDB, pada April mencapai persetujuan untuk membayar IPIC AS$1.2 bilion secara dua kali ansuran.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, 1MDB dan Kementerian Kewangan bertanggungjawab untuk semua pembayaran faedah dan prinsipal di bawah dua bon bernilai AS $ 3.5 bilion.
Perjanjian itu dicapai selepas 1MDB memungkiri bonnya pada tahun lepas, mencetuskan pertikaian dengan IPIC, yang meminta mahkamah London untuk menimbang tara tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion.