Allahyarham Dato' Raja Ahmad Niza(kanan), Zainuddin Maidin dan Nasir Ahmad(Berita Harian).Mungkin ini gambar terakhir saya dengannya. |
Pada tengah malam 21 September 2017 kami menerima berita yang mengejutkan, Dato' Raja Ahmad Niza rakan sekerja di Utusan selama lebih 20 tahun dari tahun 60an hingga 90an telah meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur kerana diserang stroke.
Kami tidak pernah tahu beliau mempunyai sakit jantung kecuali ulcer yang dideritainya semasa berkhidmat dengan Utusan Melayu hampir 20 tahun lalu dan kerana sakit ini juga beliau memohon dari saya untuk bersara lebih awal ditahun 90an. Ketika itu saya sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu.
Saya melepaskannya dengan perasaan amat berat kerana jasanya kepada Utusan Melayu ketika saya menjadi Pengarang Utusan Malaysia sangat besar.
Dengan kekuatan kesenian bahasa bersahaja,penggunaan ungkapan kata-kata yang menikam rasa, tulisannya mengenai anak-anak sakit jantung berlubang telah membangunkan kesedaran dan simpati pembaca untuk mengumpul derma membantu mereka berubat sehingga akhirnya mendorongkan kerajaan untuk membangunkan Pusat Unit Jantung Negara lebih awal dari yang dijadualkan iaitu pada tahun1982.
Ia bermula dengan tulisan mengenai Suriyati anak penoreh getah dari Melaka yang sakit jantung berlubang sehigga Utusan berjaya mengumpul sebesar $75,000 lebih dari yang diperlukan untuk pembiayaaannya menjalani pembedahan jantung di Manila tetapi gagal,Suriyati meninggal memandungkan perasaan seluruh pembaca.
Bagaimanapun pada akhirnya Raja Niza sendiri menjadi mangsa serangan pembunuh senyap yang tidak disedari mengancamnya.Bekas wartawan dan sasterawan Utusan itu telah meninggal dunia pada jam 10 malam 21 September 2017 kerana diserang sakit jantung.
Oleh kerana lama beliau tidak muncul di whatsapp Buletin Suara Keramat (Bekas pesara-pesara Utusan), maka saya mengusik dan bertanya beberapa kali kemana beliau menghilang.Saya juga bertanya kepada setiausaha Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) Rosle Azmi yang rapat dengannya kenapa beliau menyepi. Raja tidak menjawab dan menurut Rosle, Raja ada memberitahu untuk melayan sakitnya sendiri "tetapi dia tidak nampak sakit,"kata Rosle.
Pemergiannya amat dirasai oleh rakan-rakan kerana selain berlaku dengan tiba-tiba, Allahyarham amat dekat di hati semua anggota Jabatan Pengarang yang sezaman dengannya kerana kemesraan beliau sebagai seorang yang baik,tenang,penyabar,tidak bermusuh dengan sesiapa,berdisplin, berpakaian kemas,sederhana dalam tingkah laku dan percakapannya.
Keseniaan bahasanya yang menyentuh rasa dalam sajak,cerpen dan kisah-kisah sedih manusia yang ditulisnya menyebabkan ramai yang mengkaguminya dalam diam. Setelah bersara beliau juga aktif dalam politik dan menulis buku-buku sosial politik selain nobel dan sajak.
Apabila meninggalkan Utusan pada tahun 90an, beliau berkecimpung dalam dunia penerbitan tetapi saya melihat beliau lebih mementingkan kepuasan dari penerbitan buku-buku barunya dan buku-buku rakan-rakannya dari mengutamakan wang dan keuntungan. Buku terakhirnya yang belum diterbitkan ialah Melayu Hilang Kuasa.
Menurut seorang kawannya beliau menulis sambil meniarap dengan menggunakan tangan dan tidak menggunakan type writer atau computer.Semasa bekerja di Utusan,beliau juga menggunakan tangan.
Walaupun beliau dikenali sebagai seorang nobelis,cerpenis dan penyair tetapi beliau menempah nama besar ketika menjadi Penolong Penyunting Mingguan Malaysia kerana penulisannya pada April 1979 mengenai anak seorang penoreh getah dari Melaka Suriyati 2 tahun yang sakit jantung berlubang yang memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani pembedahan di Manila.
Berita dan rencana mengenai kegagalan pembedahan Suriyati di Manila dan beberapa orang lagi pesakit jantung berlubang kanak-kanak yang meninggal setelah dihantar menjalani pembedahan di luar negara atas sumbangan wang dari para pembaca Utusan Malaysia telah mendorongkan Utusan bersama dengan Dr.Nik Zainal Nik Abdul Rahman Pakar Jantung Hospital Besar Kuala Lumpur melancarkan kempen supaya kerajaan menyegerakan penubuhan Unit Pembedahan Jantung di Hospital Besar Kuala Lumpur.
Dalam menjalankan kempen ini, Raja Ahmad Niza telah telah menulis rencana bersiri di Mingguan Malaysia mengenai masalah penyakit jantung di Malaysia berdasarkan inteviu dengan Dr Nik Zainal.
Tidak sedikit air mata yang tumpah kerana kematian Suriyati dan satu demi satu anak-anak yang lain yang dihantar ke Manila dengan wang yang dikumpulkan oleh Utusan Malaysia..
Berita mengenai kematian Suriati yag menjadi mangsa pembedahan pertama di Manila telah menjadi berita utama halaman satu Utusan Malaysia pada 31 Mei 1979 yang disifatkan oleh rencana Pengarang Utusan Malaysia pada hari yang sama sebagai suatu desakan yang penting bagi menyegerakan pusat pembedahan jantung dalam negeri .
Kempen bersepadu Utusan Malaysia ke arah penubuhan pusat ini meliputi berita, rencana pengarang, pojok dan penulisan kisah sedih keluarga yang menghadapi anak jantung berlubang
Mengenai peranan Utusan membantu pesakitt- pesakit ini, Raja Ahmad Niza menulis dalam keluaran khas Utusan Melayu 50 tahun" Utusan tidak boleh mengatakan tidak boleh(atas permintaan pertulongan) kerana khidmat sosial Utusan seperti itu sudah menjadi darah dagingnya"
Dalam rencana Salam Kemanusiaan Utusan Melayu di buku Di Sebalik Jendela Utusan Melayu, Raja Ahmad Niza menulis" Dengan adanya sokongan orang ramai,suara pilu yang mengimbau di sana sini , akhirnya kerajaan berasa peka dengan nasib anak-anak malang itu. Setahun kemudian iaitu pada tahun 1982 wujudlah Unit Pembedahan Jantung di Hospial Besar Kuala Lumpur tanpa menunggu jadual pelaksanaannya pada RMK-4 yang tidak pasti pada awal penggal atau penghujung penggal rancangan itu.
Unit inilah yang berkembang menjadi Pusat Jantung Negara(IJN) yang ada sekarang.
Datuk Dr,Nik Zainal telah diantik mengetuai unit itu.Pakar kardiologi terkenal itu meninggal dunia pada 29 Oktber 2007 setelah kenderaaan pacuan empat roda yang dipandunya berlanggar dengan sebuah treler di sebatang jalan lama dekat lebuh raya Karak di Pahang.
Dato' Raja meninggal dunia ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Presiden Kelab Veteran Utusan Melayu yang dipersetujui untuk dipegangnya atas permintaan saya sendiri dan disokong oleh ahli-ahli.
Kerja-kerja penulisannya masih belum selesai, masih ada buku yang belum diterbitkan,masih banyak yang mahu ditulisnya tetapi ajalnya telah memanggilnya lebih dahulu..