Sebelumnya saya dalam keraguan apakah sikap bekas Penasihat Bank Negara,Tan Sri Nor Mohamed Yakcop apabila menghadapi siasatan RCI berhubung dengan kerugian lebih 30 billion ringgit dalam urus niaga mata wang asing (forex) sekitar 1990-an.
Ramai yang menyangka beliau akan meletakkan kesalahan kepada Perdana Menteri Dr.Mahathir Mohamed tetapi beiau tidak sahaja menafikan pernah berurusan atau memberitahu Mahathir dalam pekara ini malah menunjukkan sikap profesionalnya dengan menerima tangungjawab atas kerugian itu.
Bila kerugian itu terdedah Nor Yakcop dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaafar Hussein telah bersama meletakkan jawatan.
Saya mengenali Nor Yakcop semasa beliau menganggur setelah meletakkan jawatan dan ketika itu saya menjadi sebagai Pengerusi Eksekutif Utusan Publication and Distributors (UP&D). Saya berurusan dengannya untuk UP& D menerbitkan bukunya Perbank Islam.
Saya mengesyorkan kepada Nor supaya menyertai Utusan sebagai Pengarah Urusan Utusan Melayu yang masih kekosongan dan ketika ituTan Sri Kamarul Ariff menjadi Pengerusi Esekutif Utusan Melayu.
Saya memberitahu Dr.Mahathir dan beliau tidak membantah. Bila suatu hari Nor tiba-tiba muncul di pejabat saya di Taman Shamelin Cheras ,saya menyangka beliau telah bersetuju untuk menyertai Utusan Melayu tetapi lain pula ceritanya.Beliau mengajak saya untuk menyertainya menemui Datuk Seri Dr.Mahathir yang berada di Argentina dalam rangka lawatan ke Amerika Latin kerana beliau takut untuk menemui Mahathir bersaorangan.
Ini adalah panggilan mengejut dari Dr.Mahathir yang sebelum pemergiannya telah nampak Nor Yakcop berjalan seorang diri disebatang jalan di Kuala Lumpur. Mahathir mahu Nor membantunya menghadapi krisis kewangan ekoran serangan terhadap ringgit oleh penyangak mata wang Soros.
Bagi Mahathir seorang yang telah dianggap bersalah dan tidak lagi berguna belum tentu tidak berguna kepadanya.Beliau masih dapat menghargai sudut kekuatan dan kebaikan orang itu.
Saya menolak pelawaan Nor kerana saya bimbang nanti Mahathir terkejut melihat kedatangan sedangkan yang dipanggil hanya Nor dan keduanya saya tidak ada wang untuk tambang penerbangan dan ketiga saya tidak sanggup untuk menghadapi penerbangan jauh lebih 20 jam.
Beliau pergi seorang diri dan memulakan kerja menyiapkan kertas kerja dalam satu malam tidak lama selepas menemui Mahathir dan Mahathir begitu pantas mempelajarinya dan memulakan peperangan dengan Soros sebaik sahaja kembali ke tanah air.
Nor Yaacob acap kali menceritakan semula pekara ini dalam ucapan-ucapannya termasuk di Oxford Universiti tentang kisah dia mengajak saya untuk menemaninya menemui Mahathir .
Beliau tetap memelihara hubungan baik dengan saya dan menghantar setiap buku baru hasil karyanya kepada saya.
Walaupun beliau telah menyebabkan negara kerugian lebih 30 billion kerana perdagangan mata wang yang dikendalikannya tetapi dengan pengalaman pahit inilah Nor Yakcop telah dapat membantu negara khususnya Tun Dr.Mahatir untuk keluar dari krisis kewangan 1997 dan 1998 dan menyelamatkan ratusan billion ringgit dari serangan penyangak mata wang Soros.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tentulah berasa terbela atas kesilapannya (vindicated).