Seorang pemimpin PKR bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan rundingan dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Walau bagaimanapun Ahli Biro Politik PKR, R Sivarasa menegaskan, ia hanya melibatkan rundingan kerusi dan bukannya mahu membawa masuk kembali parti itu ke dalam gabungan pembangkang tersebut.
"Memang kita perlu rundingan untuk mengelak tiga penjuru, itu sahaja dan ini biasa dibuat.
"Rundingan ini bukan untuk membuat apa-apa pakatan dengan PAS, bukan untuk membuat apa-apa kerjasama dan hanya rundingan untuk kerusi, mana mereka akan bertanding, mana kita akan bertanding.
"Saya tegaskan hanya untuk elak tiga penjuru itu sahaja, sebab ramai orang yang salah faham dan mereka dapat tafsiran dengan menganggap ini ialah untuk membawa PAS balik ke dalam PH, itu mustahil dan itu bukan tujuannya, bukan untuk membuat kerjasama, tetapi hanya untuk mengelak tiga penjuru," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Pengerusi Bersih 2.0 yang menyeru Pakatan mengadakan rundingan dengan PAS bagi mengelak pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, Pakatan perlu sedar hakikat bahawa hanya pertembungan satu lawan satu sahaja dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut Sivarasa berkata, PAS melalui Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man juga sudah bersetuju untuk berunding dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung perbincangan pengagihan kerusi.
Justeru Ahli Parlimen Subang itu berkata, mereka akan menggunakan peluang yang diberikan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu sebaik mungkin bagi memastikan tiada pertembungan tiga penjuru diantara mana-mana parti, seterusnya memastikan kemenangan bukan memihak kepada BN.