Kalau berita ini ditulis dalam akhbar Utusan yang dilabelkan Pro Kerajaan Barisan Nasional, sudah pasti PKR akan mengambil tindakan undang - undang dan memfailkan saman.
Tetapi, disebabkan laporan berita mengenai 'Amaran Keras' yang diberikan Biro Politik PKR terhadap Rafizi itu disebarkan melalui akhbar Sin Chew, kepimpinan parti itu hanya tampil buat penafian.
Terdahulu, akhbar Sin Chew melaporkan bahawa Ahli Parlimen Pandan itu mendapat amaran keras dari pucuk pimpinan parti diatas tindakan yang telah dilakukannya sejak kebelakangan ini.
Namun perkara itu dinafikan oleh Setiausaha Agung PKR sambil mendakwa tiada sebarang tindakan disiplin diambil terhadap 'Pakar Strategi' parti itu dalam mesyuarat yang diadakan baru - baru ini.
"Tiada kes displin seumpama itu yang dibawa oleh Jawatankuasa Disiplin parti pada mesyuarat biro politik yang lepas.
"Laporan yang memetik sumber parti itu adalah tidak benar dan saya suka menganjurkan media mendapat berita dari sumber parti yang sah," kata Saifuddin dalam kenyataan medianya hari ini.
Laman ortal FMT memetik akhbar Cina itu yang memetik sumber dalaman parti sebagai berkata Naib Presiden PKR itu telah dikenakan tindakan disiplin yakni diberi amaran dan kemungkinan dipecat keanggotaannya.
Akhbar Sin Chew turut memetik sumber yang berkata atas nasihat ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim biro politik memutuskan untuk memberikan amaran lisan kepada Rafizi.
Mengulas lanjut, Saifuddin menggesa seluruh anggota parti supaya bersatu dan tidak membuat sebarang spekulasi serta memberi fokus kepada persiapan untuk menghadapi PRU.
"PKR tidak akan hilang fokus dalam persiapan pilihanraya. Saya menggesa seluruh anggota parti menggembeling tenaga mengukuhkan parti dan tidak bermain dengan khabar angin bertujuan adu domba," katanya.
Rafizi Ramli sejak kebelakangan ini dilihat cuba mengucar-kacirkan kepimpinan PKR melalui kenyataan media yang dibuat secara terbuka sehingga dia dikecam oleh pimpinan parti.
Ada pemimpin yang melabelkan Rafizi sebagai 'Barah' dalam parti, dan tak kurang juga yang turut mendakwa Si Rafizi ni sebagai 'Agen Ponorogo' yang dikaitkan dengan pemimpin UMNO.