Saya telah meliputi UMNO dalam segala pergolakannya dan kebangkitannya sejak Presiden Pertama Datuk Onn Jaafar meninggalkan UMNO dan menjadi Presiden Parti Negara.
Saya ingat meliputi Datuk Onn berucap hampir satu jam kepada hanya lima orang di bawah rumah Dato Panglima Garang seorang fanatiknya di Bukit Pinang Alor Setar Kedah dalam akhir tahun 50an. Ketika itu beliau sebagai Presiden Parti Negara.
Seterusnya saya berpengalaman meliputi Perdana-Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak, Hussein Onn dan Dr.Mahathir dan memasuki bidang politik sebagai Senator di era Mahathir hingga menjadi menteri penuh di zaman Abdullah Badawi.
Ketika Abdul Razak menjadi Perdana Menteri,saya mendapat tahu bahawa Ketua Pengarang Utusan Melayu Melan Abdulah dan kemudiannya Mazlan Nordin dari masa ke masa menerima arahan dari Jabatan Perdana Menteri untuk mempromosikan anaknya Najib sebagai pemimipin masa depan. Beliau menjadi Menteri Besar Pahang yang termuda dalam sejarah.
Peranan ini dimainkan dengan aktifnya oleh setiausaha politik Perdana Menteri, Abdullah Ahmad dan pegawai akhbar Abdullah Majid dan juga UMNO Pahang.
Apabila Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, anaknya Hishamuddin telah pun aktif dalam UMNO dan matlamatnya jelas bila sepupunya Najib menjadi Perdana Menteri.
Dr.Mahathir tidak nenampakkan hasrat untuk anaknya menjadi Perdana Menteri dan menyekat anaknya Mukhzani dari menandingi Ketua Bahagian UMNO Merbok malah katanya kepada Mukhzani “tengok muka dahulu” yang tercatit di suatu rencana Joselin Tan dalam The Star.
Umum mengetahui Mahathir mahukan Anwar Ibrahim menggantikannya. Beliau mengkagumi bakat kepimpinan Anwar dan membawa masuk ke dalam UMNO untuk membunuh Pas tetapi sayang Anwar Ibrahim tidak sabar dan masalah peribadinya telah meruntuhkan jambatannya. Sehingga saat akhir beliau tidak mahu percaya masalah peribadi Anwar walaupun diyakinkan kepadanya oleh dua Ketua Polis Negara Hanif Omar dan Rahim Noor.
Bagaimanapun setelah anaknya Mukhriz disekat oleh UMNO Pahang, Najib dan “hamba sahaya nya” dalam UMNO telah membolehkan Mukhriz tersingkir dengan rakus dalam perlumbaan untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO. Beliau rebah di kaki sepupu Najib, Hishamuddin Hussein Onn. Penghinaaan ini tidak dapat diterima oleh Mahathir dan mendorongkannya untuk melakukan personal vendeta. Itulah bacaan saya.
Read More / Baca Lagi >>