PERGINYA SEORANG INTELEKTUAL ULUNG YANG DIHINA OLEH JAWI






Berita kematiannya pada umur yang telah  lanjut 84 tahun tetap mengejutkan saya kerana memandang kepada kekuatan daya intelektualnya dan semangat dan keberanian perjuangannya yang tidak pernah pudar untuk  menegakkan kepercayaannya dari seorang Marxist kepada Islamis yang radikal dan progresif.

Akidahnya boleh dipersoalkan kerana beliau mentafsirkan Al Quran dari kacamata Marxism tetapi semua pihak sewajarnya berterima kasih kepada pihak polis khususnya Polis Bahagian Khas yang telah dapat mendekatkan Kassim kepada agama dengan kebijaksanaan akal dan bukan hukuman.

Dengan mudah saya  mentafsirkan Kassim mahu ada persamaan di kalangan nabi dan tidak ada yang istimewa antara nabi-nabi sebagai pesuruh Allah.

Saya amat kesal sehingga hari ini kepada cara JAWI menangkap dan menahannya di rumahnya di Kulim tanpa menghormati seorang yang mempunyai kedudukan tinggi dan terhormat dalam kalangan intelektual dan akademik di negara malah tidak berunding dengan polis untuk memahami latar belakang dan aliran berfikir Kassim Ahmad.

Tangkapan yang dilakukan  secara Taliban di rumahnya di Kulim menampakkan salah seorang pegawai Jawi bersikap  cukup biadab menunjukkan kegembiraan dengan menunjukkan jari keatas kepala Kassim. Kurang ajar. Gambar ini saya ingat masih ada dalam simpanan saya.

Saya mengenali Kassim Ahmad tidak sahaja dari perjuangannya sebagai seorang socialis Marxist sejak di universiti tetapi dari sejak saya masih pelajar dan dia sebagai salah seorang dari beberapa kerat Mahasiswa di kalangan anak Melayu yang berjaya ke Universiti Malaya. Kami memandang mereka dengan rasa hormat yang amat tinggi bila mereka pulang bercuti di Alor Setar. Ada yang membantu bapa menjual ikan di pasar.

Semasa menjadi pelajar di Sultan Abdul Hamid College Alor Setar, beliau telah  memperjuangkan masalah makanan yang tidak berkualiti dan juga  mahal bagi pelajar- pelajar asrama yang dibekalkan oleh seorang guru. Beliau seorang yang cerdik dan kuat belajar atas kesedaran ketinggalan bangsanya (Apa yang JAWI tahu selain dari menghukum?)


Kepercayaannya kepada  Marxist  Sosialis amat kuat sekali  dan dalam tahun 1975 pernah dalam suatu interview dengan  saya di Hotel Majestic Kuala Lumpur ketika dia menjadi pemimpin Party Rakyat Malaya, dia menyatakan kepercayaannya   bahawa Malaysia akan jatuh  ke tangan komunis dalam masa lima tahun lagi. Ketika itu sedang memuncak perang Vitenam. Vietnam jatuh ke tangan komunis tetapi domino teori tidak berlaku.

Saya bertanya kepada Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri Malaysia kenapa tidak ditangkap sahaja Kassim Ahmad yang menyokong perjuangan kiri ketika Kassim belajar  di London, Tunku berkata saya tidak mahu jadikannya sebagai Martyr (Syahid dalam perjuangannya.).

Beliau bagaimanapun  telah di tahan di bawah  ISA dan Tahniah kepda pihak Keselamatan  khususnya Polis  Bahagian Khas yang convert  Kassim  untuk berpaling kepada agama. Maka itulah terbit bukunya UNIVERSITI KEDUA yang menampakkan peralihan kecenderongannya kepada agama dan Islam.

Tetapi malangnya Kassim walau kekiri atau kekanan namun tetap seorang yang extreme dan keras  dalam pandangannya, memandang sesuatu dari sudut  melampau yang tidak dapat diterima ramai dan dan tidak  difahami ramai. Dia adalah dalam  dunia intelektualnya sendiri yang tertutup.

Pada pandangan saya apabila beliau  kembali kepada Islam, Kassim mahu mentafsirkan Al-Quran menurut faham Marxism. Beliau tetap mahu keadilan dan persamaan dalam  semua hal termasuk kepercayaan agama. Beliau mahu menyamakan kedudukan Nabi Muhammad dengan nabi-nabi yang lain.

Saya tidak faham kenapa JAWI terlalu memberikan perhatian soal ketidak percayaan Kassim  kepada Hadis pada hal dia bukanlah lagi seorang ahli politik yang bepengaruh atau agamawan  yang popular tetapi kenapa membiarkan Pemimpin Besar Pas Haji Hadi menyesatkan  orang Islam dengan fatwa Kafir dan Allahyarham Nik Aziz dengan berbagai fatwa yang karut marut???. Inilah kesepakatan  dan persubahatan  agama yang tidak disedari  antara orang-orang agama.

Bagi saya, pemergian Kassim adalah  kehilangan seorang sosialis yang bersih yang berakhlak mulia ( Bukan semua sosialis bersih).Beliau bukan kaki perempuan, peminum arak atau kaki judi atau melakukan pekara-pekara yang terlarang oleh agama.Bilau seorang yang jujur dan ikhlas dalam kesetiaan kepada perjuangan dan fahamannya dan juga terhadap sesama manusia.

Beliau adalah lebih mulia dari seorang agamawan yang tidak seimbang pemikiran dan pertimbangan kemanusiaan . Kematianya adalah suatu kehilangan besar kepada dunia intelektual Malaysia, ahli pikir besar dan tajam  dan kehilangan kepada  perjuangan keadilan manusia sejagat tanpa perbatasan agama dan bangsa.

Semuga Allah mengampunkan dosa mu Kassim dan dicucuri rahmat keatas rohnya. Alfatihah. .

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :