Ada di antara mereka yang anggap saya sudah mengkhianati Melayu dengan bekerjasama dengan Kit Siang dan DAP. Mereka tidak boleh terima DAP sama sekali kerana DAP ini anti Melayu.
Pendekatan saya amat berkesan walaupun saya juga dipersetankan oleh DAP.
Demikian kesannya usaha saya dan rakan-rakan saya dalam mempersetankan DAP sehingga orang Melayu tidak boleh terima DAP dan sesiapa yang mendampingi DAP sama sekali.
Hari ini saya sendiri yang mendampingi DAP. Maka pada ramai orang Umno terutamanya, saya sudah khianati mereka.
Saya tidak akan berbuat demikian jika DAP benar-benar syaitan. Sebelum saya ramai juga pemimpin tertinggi Melayu yang bekerjasama, bahkan menyokong DAP. Di antara mereka ialah Tunku Abdul Rahman (Bapa Kemerdekaan) dan Tengku Razaleigh Hamzah. Anwar Ibrahim juga bekerjasama dengan Kit Siang dan DAP.
Pemimpin PAS, Hadi Awang biasa berpeluk Kit Siang dan berada dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan 13. PAS menang besar apabila disokong oleh orang Cina DAP.
Saya mula bekerjasama dengan Kit Siang apabila beliau menyokong Deklarasi Rakyat yang bertujuan menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib (Razak). Pada ketika itulah perjuangan politik kami menjadi sama. Kedua-dua kami berpendapat menjatuhkan Najib lebih penting dari sengketa antara kami.
Hakikatnya ialah di Malaysia yang berbilang kaum, tidak ada satu parti atau satu kaum yang boleh menang dalam pilihan raya umum sehingga menubuh kerajaan Malaysia. Hanya parti campuran sahaja yang boleh kuasai cukup bilang untuk mendiri Kerajaan.
Umno dengan sendirinya tidak mungkin menang dan tubuh kerajaan. Hari ini pun Umno hanya mempunyai 88 wakil rakyat dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 220 kerusi. Umno perlu sokongan MCA, MIC dan banyak parti-parti lain (13 buah parti).
Demikian juga dalam parti-parti yang menentang BN. Tidak ada satu parti yang boleh diri kerajaan dengan sendirinya. Hanya parti campuran yang boleh menewas BN.
Pengundi Cina kurang dari pengundi Melayu. Tetapi Melayu berpecah kepada empat buah parti iaitu Umno, PKR, Amanah dan Bersatu. Apabila Umno berlawan dengan parti lain samada dua penjuru atau tiga atau lebih, undi pengundi Cina yang akan menentukan Umno menang atau tidak. Demikian juga dengan parti lawan.
Menyedari hakikat ini maka parti lawan juga perlu mendapat sokongan pengundi Cina. Sebab itulah Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan DAP. DAP juga sedar untuk menang lawan dengan MCA atau Gerakan, pengundi Melayu diperlukan.
Read More / Baca Lagi >>