Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji dari DAP, Howard Lee Chuan How diarah keluar dewan oleh Speaker DUN Perak, Datuk S Thangasvari kerana gagal mematuhi Perintah Tetap 44 (2) DUN Perak.
Berikutan itu, Chuan How turut digantung daripada menghadiri Sidang DUN Perak sehingga persidangan tamat petang ini.
Thangasvari berkata, Chuan How tidak menghormati dan mengikuti arahannya ketika DUN bersidang dan menimbulkan kekecohan.
Kekecohan berlaku selepas Chuan How mengusulkan supaya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selepas didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya ketika sesi perbahasan pada 24 November lalu.
Selepas berbalas hujah antara ADUN BN dan pembangkang selama kira-kira 30 minit, Thangasvari kemudian memutuskan supaya Chuan How diarahkan keluar dewan.
Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid (BN-Kamunting) turut bangun dan mengusulkan Perintah Tetap 44 (3) supaya Chuan How digantung perkhidmatannya sebagai ahli dewan sehingga dewan tamat bersidang hari ini.
Usul berkenaan kemudian dipersetujui wakil kerajaan dan Chuan How kemudian diiringi Bentara Dewan untuk keluar dewan dan diikuti oleh semua ADUN pembangkang kecuali empat ADUN PAS.