'Kalaupun tolak Pakatan tegurlah salah BN'


KUALA LUMPUR - Pendirian Pas untuk tidak bersama Pakatan Harapan (Harapan) pada PRU14, menunjukkan ketegasan parti itu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Bin Raja Ahmad berkata, biarpun mengambil pendekatan itu, selaku parti pembangkang, Pas harus juga menegur setiap kesalahan dilakukan kerajaan BN.
"Saya tak faham dengan Pas. Saya ambil contoh, isu liwat yang didakwa oleh Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN-Tambun) di Dalam Dewan Rakyat, minggu lalu, mereka (Pas) tidak mencelah... sedangkan ia fitnah secara terang kerana tidak ada bukti.
"Kami yang membuat laporan qazaf terhadap Ahmad Husni. Mengapa Pas tak tegakkan kebenaran?," katanya kepada Sinar Online di Parlimen, semalam.
Beliau berkata, Pas seolah-olah mahu menampakkan diri mereka suci tetapi tidak melakukan perkara yang sepatutnya.
"Begitu juga untuk isu-isu agama yang sepatutnya mereka bersuara, contohnya isu kafir harbi yang dibuat oleh seorang mufti, kemudian isu dobi, mana suara Pas?
"Tidak bersama Harapan, tidak juga bersama BN, tetapi membisu, apa sebenarnya 'permainan' Pas ini," katanya.
Dalam pada itu, Raja Kamarul Bahrin turut mengkritik sikap Pas yang secara jelas menuduh tanpa bukti serta melabel parti lain sebagai penyangak dan pencuri.
"Mana bukti bila cakap macam tu, yang bercakap itu pula bukan sembarangan.
"Kerana itu saya kata, Pas hari ini betul-betul dah lain," katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindak-tanduk Pas sejak akhir-akhir ini.
"Ramai rakan-rakan saya yang masih bersama Pas mengadu mengenai parti itu. Mereka keliru dengan perjuangan Pas sekarang ini.
"Kerana itu, ketika kami mengadakan ceramah di beberapa kawasan di Terengganu, sambutan untuk Amanah semakin bertambah," katanya.
Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi satu kenyataan mendakwa, Pas tidak boleh memberi harapan kepada Harapan kerana terdapat penyangak yang bersekongkol dengan punca masalah negara di dalam parti itu.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :