Kalau setakat seorang sahaja yang datang ‘gempur’ mungkin lebih mudah bagi Si Menteri Besar Selangor itu untuk buka ‘silat kuntau’ bagi menepis dan menangkis serangan dari pihak lawan.
Bagaimanapun menurut portal tempatan AgendaDaily, kali ini sudah lain cerita malahan silap hari bulan boleh bikin Timbalan Presiden PKR itu tidak senang duduk atau mengigau dalam tidur sepanjang masa.
Apa tidaknya, buat julung kali dalam sejarah empat bekas Menteri Besar Selangor secara serentak sudah set dan mula ‘turun padang’ dalam misi mereka untuk Barisan Nasional (BN) merampas semula Selangor.
Tan Sri Khalid Ibrahim yang disingkir PKR secara zalim menerusi ‘Langkah Kajang’ pada 2014 mengesakan akan menyertai Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Dr. Mohamad Khir Toyo dan Tan Sri Abu Hassan Omar.
Setiap mereka bahkan ada pengaruh tersendiri dan kekuatan unik masing-masing sekalipun sudah dua penggal Selangor ditadbir oleh parti pakatan pembangkang sejak 2008 lagi.
Sebelum ini Khalid yang juga Ahli Parlimen (Bebas) Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur enggan mengesah atau menafikan beliau akan menyertai siri misi BN yang diterajui UMNO tersebut.
Namun kebelakangan ini beliau kerap dilihat bersama pemimpin UMNO termasuk bersama Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah Kabinet ketika pelancaran Exco Negaraku 2017 di Dataran Merdeka kelmarin.
Muhammad yang merupakan bekas Menteri Besar Selangor paling senior berkata mereka telah sepakat berganding bahu turun padang bantu BN di negeri itu merampas semula pemerintahan dari Pakatan Harapan.
Beliau bersama Abu Hassan, Dr. Mohamad Khir dan Khalid sudah bertemu dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bagi menyatakan pendirian masing-masing baru-baru ini.
Muhammad atau juga mesra disebut Mat Taib berkata demikian kepada wartawan selepas berceramah Siri Jelajah Penerangan Isu Selangor anjuran BN di perkarangan pejabat ADUN Kuang lewat kelmarin.
Menurutnya lagi, antara peranan Khalid adalah untuk berunding dengan pihak tertentu di negeri itu yang boleh mempengaruhi rakyat kerana sepanjang menjadi Menteri Besar, ada yang masih setia pada beliau.