PAS mempunyai kepercayaan yang tinggi bahawa jangka hayat parti sepihannnya, Parti Amanah Negara (PAN) yang bekerjasama dengan DAP akan berakhir berakhir selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Antara tanda-tanda awal hayat parti akan habis ialah PAN gagal mendapat sokongan rakyat di negara ini, khususnya di Kelantan yang menjadi sasaran PAN pada PRU akan datang.
PAS juga percaya, parti sekutu dalam Pakatan Harapan seperti DAP dan PKR tidak akan semudahnya memberikan kerusi pada parti baharu itu.
Keyakinan itu disuarakan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang berkata, PAN yang mensasarkan untuk bertanding 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini perlu sedar bahawa mereka bukan sahaja kekurangan calon malah sehingga kini masih tidak berupaya membentuk cawangan di kawasan-kawasan tertentu.
Malah beliau juga percaya, Pakatan Harapan khususnya DAP dan PKR tidak akan memberi kerusi mereka kepada parti kecil seperti PAN dalam pilihan raya akan datang.
“Kita yakin Pakatan Harapan tidak akan beri kerusi pada PAN. Dia (PAN) hendak bertanding kerusi siapa, dan tidak mustahil bakal berlaku perebutan kerusi sesama sendiri selepas ini.
“Jadi PAN perlu sedar dan melupakan niat untuk menggantikan PAS mentadbir Kelantan. PAN hanya menjadi pekakas DAP, ikut apa DAP buat, hendak ganti PAS bagaimana?,” katanya yang dipetik dri Utusan Malaysia ketika menyampaikan ceramah berkaitan isu-isu semasa di Kampung Hujung Tanjung di sini malam tadi.
Sementara itu, Mohd. Amar turut membidas Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa berikutan tindakan beliau yang berterusan menyerang parti itu khususnya berkaitan isu Wisma Tok Guru dan Pasar Besar Pasir Puteh.
Katanya yang juga Timbalan Menteri Besar, serangan demi serangan oleh Husam itu dilihat sebagai langkah terdesak untuk meneruskan kesinambungan politiknya yang semakin suram.
“PAS yakin habis PRU-14 ini, kita boleh tengok karier politiknya (Husam) juga bakal berakhir. Apabila sudah terdesak, dia sanggup buat apa sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, PAN juga dijangka sukar untuk memilih kerusi yang 'selesa' di Negeri Kedah kerana sekutunya PKR juga tidak semudahnya mahu melepaskan kerusi-kerusi yang 'selamat' bagi parti pimpinan Mohamad Sabu itu.
PKR juga membayangkan sebelum ini akan bertanding lebih banyak kerusi di Kedah berbanding pada PRU13 sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga berkemungkinan meletakkan ramai calonnya daripada PAN.