Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu akur dan segera memperbetulkan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan ekoran melanggar Akta Pertubuhan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Pensyarah Kanan Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Salawati Mat Basir berkata, ini kerana parti bunga itu bukan saja melanggar akta RoS tetapi perlembagaan PPBM sendiri.
"Dia ada tiga benda sebenarnya yang dia (PPBM) langgar. Yang dia langgar itu pun perlembagaan dia sendiri.
"Jadi kalau dia masih lagi isu ia tergantung, jadi susah untuk dia dan berpotensi untuk tidak masuk pilihanraya. Jadi lebih baik dia selesaikan. Dia tidak boleh lah asyik bagi alasan kata lambat.
"Dia tidak boleh bandingkan dia dengan Umno sebab Umno pada masa itu diharamkan atas sebab teknikal. Sekarang ini dia sempat ke tak buat dalam masa sebelum PRU ini," katanya kepada Antarapos hari ini.
Mengulas mengenai soal lanjutan mesyuarat agungnya (AGM), yang sepatutnya diadakan selepas genap setahun penubuhannya, Salawati berkata parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu sepatutnya mengambil tindakan lebih awal mengenai isu tersebut.
"Sekarang ini, apabila tidak mendapat apa-apa daripada RoS tidak boleh dianggap RoS menerima. Dia mesti ada hitam putih menerima atau menolak. Mereka (PPBM) beranggapan RoS diam maknanya okay. Tidak. Sebab semuanya termaktub dalam perlembagaan mereka. Yang mesti buat AGM itu. Kena patuhlah," tambahnya.
Sebelum ini RoS mengumumkan tidak mengiktiraf AGM PPBM yang diadakan pada 2 November tahun lalu. Ia adalah susulan hanya 12 orang ahli majlis tertinggi sahaja yang menghadiri mesyuarat itu.
Bagaimanapun, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya memerlukan masa untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya kali pertama.
Sambil merujuk kepada UMNO, Ahli Parlimen Pagoh itu juga turut memberikan alasan bahawa parti keramat itu sendiri mengambil masa selama dua tahun untuk berbuat demikian.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Salawati berkata Muhyiddin disaran agar berhenti bercakap tentang parti lain kerana PPBM adalah fokus utama mereka dan itu yang sepatutnya diselesaikan terlebih dahulu.