Zaman Kleptokrasi: Mahasiswa, pensyarah ramai terpasung takut bersuara

Asheeq Ali (berbaju putih) sedang menyiapkan poster protes bantah harga minyak naik di Jalan Parlimen.
Rata-rata penuntut dan pensyarah di universiti awam dilihat masih terpasung takut untuk menyuarakan hak dan keadilan dalam masyarakat walaupun secara ilmiah.
Aktivis mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asheeq Ali Sethi Alivi berpendapat pelajar khususnya diancam ketakutan dengan paling ketara ketika musim Pilihan Raya Kampus (PRK).
“Pelajar dipaksa mengundi hanya calon yang direstui pentadbiran universiti saja. Akibatnya, tiada gerakan yang dominan dan berani untuk bangkit melawan Aspirasi.
“Tindakan yang diambil kepada penyokong dan pencadang calon yang pro mahasiswa mengakibatkan pelajar takut untuk bercakap hal yang dilihat bercanggah dengan polisi kerajaan.
“Keluar mengundi pun sekadar untuk dapat markah merit. Pilih siapa pula bukan rahsia apabila kertas undi dicatat nombor siri. Banyak taktik kotor digunakan.
“Sejak dari kes UKM13 lagi, tindakan menakutkan mahasiswa ‘berjaya’ dan sampai sekarang pun masih dimainkan lagi ketakutan kepada pelajar Tahun Satu seperti ditendang daripada menginap di kolej jika tidak mengundi calon Aspirasi,” jelasnya ketika ditemui di Jalan Parlimen awal pagi semalam.
Terdahulu, mahasiswa Tahun Empat jurusan undang-undang berkenaan ditanya Malaysia Dateline tentang penglibatan mahasiswa dalam aksi protes membantah kenaikan harga petrol dan diesel di lokasi menghala ke bangunan Parlimen itu.
Menurut Asheeq, penglibatan ahli akademik dalam memberi reaksi terhadap perkembangan semasa termasuk kupasan pasca pembentangan Bajet 2018 juga seperti hampir tiada.
“Budaya intelektual di universiti kita sakit. Ramai ahli akademik nampaknya seperti sudah vakum daripada bercakap tentang isu paling memberi kesan terhadap rakyat dan masa depan negara ini.
“Takut ahli akademik mungkin tidak disambung kontrak perkhidmatan mereka meskipun boleh saja mengulas Bajet 2018 contohnya, secara ilmiah mengikut bidang kepakaran masing-masing tanpa perlu terlalu mengikut retorik ahli politik,” ujarnya.
Walau bagaimanpun, katanya, satu perkembangan sihat dalam menjana budaya intelektual di UKM misalnya, apabila wujud kumpulan mahasiswa tertentu mengadakan siri dialog pemikiran, forum mengenai isu semasa atau bedah buku dari semasa ke semasa.
“Tapi setahu saya belum ada lagi forum panggil pensyarah untuk ulas sesuatu isu seperti mungkin telah dibuat kampus lain seperti UM (Universiti Malaya),” jelas koordinator Demokrat UKM itu lagi.
Singkat
Mengulas kritikan pihak tertentu yang menganggap unjuk rasa dengan cara berkumpul sebagai tidak lagi relevan, Asheeq berkata, dakwaan itu berbalik pada diri mereka yang menganggap sedemikian.
“Aksi protes seperti ini mesej penting anak muda kepada kerajaan juga medan kepada mahasiswa untuk sama mencorak dasar politik dan ekonomi negara.
“Aksi protes sebegini kalau disertai ramai orang termasuk mahasiswa kesannya tentu jauh lebih besar daripada jangkaan. Masalahnya mereka sendiri tidak turut sama serta atau melakukan alternatif lain dalam membangkitkan kesedaran rakyat.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :