Pengerusi Pakatan Harapan itu membidas Donald Trump hanya berani membuli negara lemah untuk menjadi hero.
Bekas perdana menteri itu membidas Donald Trump hanya berani membuli negara lemah untuk menjadi hero.
“Ini satu (tindakan) buli antarabangsa. Kalau dia lemah, tidak boleh buat macam itu. Dia carilah orang yang lemah, orang yang tidak ada tentera, yang tidak boleh balas balik, barulah dia ambil tindakan.
“Saya jemput Presiden Trump ambil tindakan kepada China, itu baru padan. Ini pergi cari orang lemah kononnya buli orang lemah, kononnya dia jadi hero, penyangak.
“Orang Islam ini tidak ada tentera, kapal terbang, kereta kebal, tidak ada kerajaan yang berani menentang AS,” katanya ketika berucap dalam bantahan di luar kedutaan AS di Jalan Tun Razak bagi mengecam kebiadaban Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Pengerusi Pakatan Harapan itu turut mengulangi cadangannya supaya Datuk Seri Najib Razak memujuk Trump menarik balik keputusan mengiktiraf Baitulmaqdis milik Israel.
“Kita perlu bersatu hati dan hentikan kemusnahan sesama orang Islam dan kita alihkan untuk bina segala kekuatan yang ada pada kita untuk menentang penyangak yang sekarang menjadi Presiden AS, Donald Trump.
“Kalau (Najib) dah kawan baik dengan Trump, main golf dengan Trump, cakaplah pada Trump (tarik balik keputusannya).”
Lebih 500 penyokong Pakatan Harapan dan beberapa NGO berarak dari depan Bangunan Tabung Haji ke kedutaan AS di Jalan Tun Razak, selepas selesai menunaikan solat Jumaat hari ini, bagi mengecam kebiadaban Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Selasa lalu, Dr Mahathir menyarankan Najib yang pernah mengaku rapat dengan Trump, mengetuai pemimpin negara Islam lain menemui presiden AS itu bagi memujuknya menarik balik keputusan itu.
Beliau “yakin” perdana menteri dapat berbuat demikian.
Rabu lalu, Najib dilaporkan berkata, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu bersatu dalam usaha menolak sebarang langkah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, sebaliknya Baitulmaqdis hendaklah menjadi ibu negara Palestin.
Read More / Baca Lagi >>