Pihak yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit diminta mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk dalam usaha mencari penyelesaian terbaik berhubung isu perlombongan bahan mineral itu.
Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Menentang Bauksit Kuantan (Geram), Ali Akbar Othman berkata, suara wakil penduduk perlu diambil perhatian memandangkan mereka antara golongan yang terkesan akibat aktiviti berkenaan.
Menurutnya, penarikan semula sitaan 10 juta tan stok Bauksit yang diputuskan oleh pihak sebelum ini SPRM boleh memberi kesan buruk jika tiada langkah kawalan berkesan dilakukan.
"Sepanjang tempoh moratorium, kehidupan penduduk amat selesa selepas melalui tempoh penuh kesengsaraan akibat sikap tamak peniaga bauksit. Tiada persekitaran yang kotor, berdebu dan gangguan jalan raya yang menakutkan.
"Suasana ini bakal berubah sekiranya kerajaan tidak bersungguh-sungguh menyediakan mekanisme berkesan bagi mengawal kegiatan perlombongan dan pengangkutan jika aktiviti bauksit diteruskan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau turut mencadangkan agar satu perbincangan terbuka antara kerajaan negeri, agensi penguatkuasaan terlibat, wakil penduduk dan pengusaha bauksit diadakan untuk mencari penyelesaian ‘menang-menang' bagi semua pihak.
Jelasnya, perbincangan terbuka adalah salah satu platform yang terbaik bagi mengatasi semua kelemahan yang berlaku pada perlombongan bahan mineral tersebut suatu masa dahulu.
Selain itu, Ali Akbar menyarankan agar semua aktiviti berkaitan bauksit tidak diteruskan selagi tiada penambahbaikan atau garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan.
Sebelum ini, isu perlombongan bahan mineral itu mendapat bantahan secara terbuka dari penduduk di sekitar kawasan Kuantan akibat berlakunya pencemaran yang tidak terkawal.
Pelbagai pihak juga pernah tampil membuat desakan terhadap Kerajaan dan wakil rakyat tempatan agar perlombongan bauksit itu diharamkan terus seperti yang pernah dilakukan di Indonesia.
Sebagai rekod, perlombongan bauksit di Kuantan dihentikan setelah moratorium dikuatkuasakan selepas pihak pengusaha, terutama pengusaha persendirian yang enggan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan.