Humban Jho Low, Najib, Rosmah ke penjara

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan Pakatan Harapan akan menyiasat secara terperinci penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk menghumban ahli perniagaan Low Taek Jho, Perdana Menteri dan isteri ke penjara.
Menurutnya, langkah yang akan dilakukan sebaik Pakatan Harapan diberi mandat ke Putrajaya itu bagi mengembalikan wang hak rakyat yang dirompak dan cuba untuk dikembalikan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.
“Saya yakin kita akan dapat mengembalikan wang hak rakyat daripada disonglap melalui 1MDB untuk dimanfaatkan oleh rakyat.
“Sesiapa pun yang kita dapati bersalah kita humban ke dalam penjara. Jho Low ke, Perdana Menteri ke, isteri Perdana Menteri ke, kalau didapati bersalah.
“Ini wajib dilakukan kerana kita tidak mahu dituduh tangkap hanya bilis sahaja, yang besar jerung lepas,” tegasnya dalam ceramah Jelajah Semarak di Ipoh malam semalam.
Program anjuran Bersatu di pejabat parti tersebut di Jalan Meru Impian mendapat sambutan orang ramai sekali gus menggambarkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan.
Untuk rekod, Jabatan Kehakiman AS pada Julai tahun lalu menerusi saman sivil yang difailkan di Los Angeles memohon untuk merampas sejumlah 17 aset termasuk hartanah mewah dan sebuah pesawat jet.
Kesemua harta itu dipersoal kerana didakwa dibeli di AS, Switzerland dan United Kingdom menggunakan dana 1MDB.
Dana daripada syarikat pelaburan negara sarat hutang itu juga dikatakan diguna untuk membeli estet mewah di AS, membayar perbelanjaan perjudian di kasino Las Vegas, memperoleh lebih AS$200 juta dalam hasil seni, melabur dalam projek utama pembangunan hartanah di New York, dan membiayai produksi filem-filem Hollywood.
Lautan orang ramai hadir ceramah Bersatu di Ipoh kelmarin.
Menurut Mukhriz, siasatan menyeluruh ke atas skandal 1MDB sebagai langkah jangka pendek bagi menampung lompang hasil RM42 bilion apabila cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan sebaik Pakatan Harapan mentadbir.
“Hari ini kita tubuh kerajaan besok kita hapuskan GST. Sebelum ada GST, kita ada sistem percukaian SST. Kutipan cukai SST – RM16 bilion. Itu pun ada kelemahan-kelemahan tertentu.
“Kita boleh mengukuhkan kaedah kutipan cukai SST dan kita yakin dapat mengutip tidak kurang daripada RM22 bilion berbanding RM42 bilion GST. Maksudnya ada RM20 bilion lagi tidak cukup.
“Yang ini dalam jangka pendeknya untuk selesaikan masalah ini, tubuh saja kerajaan Pakatan Harapan hari ini, kami akan siasat 1MDB ini sampai ke lubang cacing.
“Dengan mudahnya kita (Pakatan Harapan) akan dapat menampung semula lompang RM42 bilion kerana kita hapuskan GST.
“Jangan bimbang. Itu janji Pakatan Harapan sekiranya diberi mandat untuk menubuhkan kerajaan,” ujarnya.
Beliau juga mengakui tahu lokasi penyembunyian hasil penyelewengan 1MDB yang dilakukan di bawah pentadbiran Najib.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :