PORT DICKSON - Ketua Umno Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Isa Samad dipercayai baru selesai mempengerusikan mesyuarat khas Umno Bahagian Telok Kemang di sebuah hotel yang berlangsung jam 4 petang tadi.
Terdahulu, dalam laporan Sinar Harian, polis akan memanggil beberapa individu terlibat sebaik pulang ke tanah air termasuk Mohd Isa selaku bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) untuk memberi keterangan berkenaan isu kontroversi pemindahan milik tanah Felda di Jalan Semarak.
Mohd Isa sekali lagi terpalit kontroversi apabila media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.
Mohd Isa merupakan Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.
Sinar Harian juga difahamkan, Mohd Isa pada jam 8.30 malam ini akan menghadiri satu program di Port Dickson.