Haniff Khatri Abdulla berkata, polis mengemukakan 32 soalan kepada Dr Mahathir dalam sesi soal siasat kira-kira 48 minit di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Haniff Khatri Abdulla (dua dari kanan) bersama barisan peguam Dr Mahathir menemui wartawan selepas soal siasat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, selesai kira-kira 3.10 petang tadi.
Haniff berkata, polis mengemukakan 32 soalan kepada pengerusi Pakatan Harapan itu dalam sesi soal siasat kira-kira 48 minit di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
“Pegawai polis yang datang ada beritahu 3 laporan polis dibuat dan siasatan menjurus kepada 3 pertuduhan di bawah 3 akta.
“Satu daripadanya di bawah Akta Hasutan 1948, kedua adalah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan satu lagi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya di luar bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, selepas selesai sesi soal siasat itu.
Beliau berkata, bekas perdana menteri itu sedia menjawab isu Bugis di mahkamah dan tidak gentar dihukum.
“Tun tidak bimbang akan hukuman dan pertuduhan, tetapi kalau nak buat tuduhan, lebih baik buat pertuduhan. Jangan buang masa dia. Ini kali ke-5 polis ambil keterangan dia dalam pelbagai isu.
“Ini kali pertama bagi isu Bugis. Kalau nak tuduh, buatlah di mahkamah. Dia akan beri keterangan di mahkamah,” katanya sambil mengulangi kenyataan Dr Mahathir berkaitan lanun bugis yang ditujukan kepada Datuk Seri Najib Razak, bukannya seluruh etnik itu.
Empat pegawai dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tiba dengan 2 kereta berasingan kira-kira 1.34 tengah hari tadi, untuk mengambil keterangan Dr Mahathir.
Empat peguam Dr Mahathir diketuai Haniff yang tiba 30 minit lebih awal, turut hadir dalam sesi soal siasat itu.
Siasatan selesai kira-kira 3.10 petang.
Pada 14 Oktober lalu, Dr Mahathir ketika berucap dalam perhimpunan anti-kleptokrasi di Petaling Jaya, mengaitkan Najib dengan keturunan “lanun Bugis”.
Susulan itu, Dewan di-Raja Selangor mahu Dr Mahathir disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948. Pada 17 Oktober lalu, 2 laporan polis dibuat Persatuan Bugis Johor berhubung kenyataan itu.
Salah faham siasatan hari ini berkaitan isu skandal forex
Dalam perkembangan sama, Haniff berkata, berdasarkan makluman awal yang mereka terima, polis sepatutnya mengambil keterangan Dr Mahathir berkaitan kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang (forex) sekitar 1990-an.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebaliknya berlaku apabila pasukan polis yang hadir memaklumkan siasatan hari ini berhubung isu Bugis.
Read More / Baca Lagi >>