NAMA SEKOLAH PUN JADI MODAL POLITIK SEMPIT!!!

Pertukaran nama Sekolah St Thomas Kuantan, di sini, bagi sekolah menengah dan rendah tidak seharusnya dijadikan isu memandangkan keseluruhan pentadbiran sudah diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan.

Naib Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan St Thomas, juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Baru, Datuk Tengku Abu Nirah Tengku Ahmad berkata, pembinaan sekolah di tapak baru nanti secara tidak langsung menggunakan nama baru.
“Sepatutnya tidak perlu dibangkitkan mengenai nama memandangkan ia merupakan sebuah sekolah baru yang dibina bagi membantu untuk menampung jumlah pelajar di sekitar Kuantan yang semakin meningkat.
“Daripada segi pelajarnya tidak semestinya akan menempatkan pelajar asal Sekolah St Thomas sahaja dan pemindahan mereka bukanlah automatik. Kita akan memberi pilihan kepada mereka sama ada untuk terus ke sekolah berkenaan atau memilih sekolah lain.
“Manakala segi pentadbiran pula akan ditentukan oleh pihak kementerian memandangkan ia sudah menjadi sekolah yang lebih besar,” katanya, semalam.
Dalam pada itu, menurutnya, terdapat juga cadangan bahawa nama sekolah St Thomas masih boleh dikekalkan sekiranya pentadbirannya berada semula di bawah pengurusan pihak Gereja St Thomas.

Sementara itu, katanya, pihak Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan tapak baru seluas 12 hektar bagi kedua-dua buah sekolah di Kemunting, di sini melibatkan peruntukan sebanyak RM56 juta.
“Saya difahamkan pihak kementerian akan melantik kontraktor bagi melaksanakan pembinaan sekolah berkenaan pada tahun hadapan.
“Sebelum ini bagi murid sekolah rendah mereka telah ditempatkan untuk menumpang di SK Teruntum manakala pelajar sekolah menengah ditempatkan di SMK Sultan Abu Bakar sejak tiga tahun,” katanya.
Terdahulu, terdapat laporan akhbar menyiarkan bahawa sekolah itu akan diberikan nama ‘Mahkota Abdullah’ selepas ia dipindah ke bangunan baru hingga menimbulkan pelbagai reaksi.

Sekolah itu tersepit dalam pertelingkahan undang-undang antara Gereja St Thomas dan kerajaan negeri berkaitan tanah milik gereja seluas 2.4 hektar di Jalan Gambut. Apabila kerajaan negeri menggugurkan kes dan tidak meneruskan pemerolehan tanah, sekolah rendah dan menengah perlu dipindahkan.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :