Polis tak pasti siasatan forex BNM boleh siap sebelum PRU14

Mohamad Fuzi Harun berkata, polis sedang meneliti laporan RCI itu siang dan malam bagi memastikan siasatan dapat disiapkan secepat mungkin.
fuzi-bnm
KUALA LUMPUR: Ketua polis negara tidak pasti siasatan lanjut berhubung kerugian urus niaga mata wang asing (forex) ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an dapat disiapkan sebelum pilihan raya umum ke-14.
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan intensif sedang dijalankan selepas pihaknya menerima laporan dibuat Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) forex BNM pada 1990-an, Datuk Dr Yusof Ismail.
Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti laporan RCI itu siang dan malam bagi memastikan siasatan dapat disiapkan secepat mungkin.
“Tetapi, saya rasa ia mengambil masa kerana kami kena mengenal pasti mereka ini seperti yang dinyatakan di dalam laporan itu,” katanya selepas melancarkan Kempen Cegah Jenayah Ragut dan Seluk Saku di Pusat Beli-belah Pavilion hari ini.
Laporan RCI setebal 400 muka surat itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong 13 Oktober lalu dan diedarkan kepada 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 30 November lalu.
Suruhanjaya itu dalam laporannya menyimpulkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merelakan tindakan menteri kewangan ketika itu “menyembunyikan fakta dengan sengaja”.
“Terdapat elemen menyembunyikan fakta dengan sengaja memandangkan Laporan Tahunan BNM tidak menunjukkan kerugian sebenar yang dialami akibat urus niaga forex dari 1992 hingga 1994,” menurut laporan itu.
RCI turut menyalahkan bekas penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung BNM pada 1992 hingga 1994.
Sehubungan itu, RCI mengesyorkan polis menyiasat Dr Mahathir, bekas menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.
Jumaat lalu, Fuzi dilaporkan berkata, pasukan khas ditubuhan bagi melakukan siasatan lanjut berhubung kerugian urus niaga forex BNM.
Katanya, pasukan yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh Ishar Singh itu ditubuhkan pada 30 November lalu, selepas Yusof membuat laporan polis berdasarkan syor dan rumusan RCI mengenai kemungkinan berlaku pecah amanah dan penipuan dalam skandal berkenaan.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :