Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, isu itu juga boleh mempengaruhi pola pengundian pada PRU14 kerana 54 kerusi Parlimen terletak di dalam kawasan tanah rancangan.
“Kalau ada pihak mengatakan bahawa pihak lain mendedahkan bangkai yang terdedah kini adalah untuk menutup bangkai yang lain, ini adalah salah sama sekali. Ini kerana, bau bangkai lain masih lagi dihidu walaupun ianya ditutup,” katanya.
Beliau berkata, bukan Shahrir sahaja yang perlu menyelesaikan isu ini, malah pihak berwajib seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlu mengheret individu yang terlibat ke muka pengadilan.
“Tindakan ini sekali gus dapat membersihkan nama baik kerajaan dan BN. Seperti kita ketahui, Felda merupakan kubu kuat BN khususnya Umno. Dengan timbulnya isu-isu membabitkan Felda, sudah pasti memberi kesan kepada pola pengundian peneroka kelak,” katanya.