RABU lalu, negara digemparkan dengan berita anak saudara kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia membabitkan kes melombong pasir tanpa lesen di Sungai Long, Kajang sehingga mengakibatkan anak sungai tertimbus serta tersekat.
Susulan penahanan itu, selebriti terkenal, Azwan Ali dilihat meluahkan rasa gembira berhubung kes berkenaan menerusi beberapa posting di laman Facebook miliknya, baru-baru ini.
Menerusi posting berkenaan juga, Azwan dilihat sempat ‘mencabar’ anak saudaranya yang bernama Mohd Nuzul Fadli Mohd Noriyualsaid merayu pertolongan daripada Azmin untuk dibebaskan daripada tahanan SPRM.
Azwan turut menyifatkan penangkapan itu sebagai balasan daripada Tuhan di atas perbuatan keterlaluan anak saudaranya yang tidak menganggap Azwan sebagai bapa saudara ketika majlis perkahwinan Mohd Nuzul Fadli sebelum ini.
“Aku tatang kau macam minyak penuh sejak kecil! Kau antara anak saudara paling bernasib baik dapat sanjungan Azwan Ali. Tapi itu dulu! Bila kau kahwin, kau haram jemput Che Wan (Azwan Ali)?
“Gara-gara kau besarkan Azmin Ali, kemudian kau dengar hasutan mak bapa kau untuk tak jemput atau paruah aku sebagai pakcik kau.
“Sekarang tuhan bayar tunai! Kau sudah meringkuk dalam lokap untuk siasatan SPRM! Kau meroyan kepada Azmin Ali suruh lepaskan kau!
“Muhasabah lah sebelum bala lebih besar terutamanya mak kau yang tak habis caci hina Azwan Ali,” tulisnya menerusi posting berkenaan.
Sementara itu, Azmin juga tidak terlepas daripada tempias ‘kelancangan’ mulut Azwan memandangkan salah laku yang dipalit dengan nama menteri besar itu dianggap memalukan keluarga arwah ayahnya, Ali Omar.
Sebelum ini, SPRM telah menahan Nuzul Fadli di kediamannya yang berlokasi di No.35 Jalan Desa Pandan, Kuala Lumpur kira-kira jam 1 tengahari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah projek lombong pasir dan pelbagai projek di Selangor.