"Perhimpunan kali ini mesti menunjukkan sesuatu yang luar biasa sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)."
Demikian diantara kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang ketika ditemubual oleh pihak media berhubung Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang akan diadakan minggu depan.
Jelas beliau, semua perwakilan perlu menunjukkan kesepaduan dan yang penting semangat mesti ditingkatkan untuk menghadapi pilihan raya ini bagi menggerakkan jentera di peringkat bawah.
Keduanya, tambah beliau, semua para perwakilan (pembahas) yang melambangkan UMNO itu sendiri perlu memperlihatkan kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden parti.
Sokongan ini boleh dizahirkan menerusi ikrar dan dalam ucapan wakil negeri dan sayap termasuk mematuhi keputusan Presiden dalam menentukan calon yang akan bertanding pada PRU-14.
Manakala jurucakap negeri atau sayap perlu menggunakan pentas perhimpunan ini tidak perlu takut untuk bercakap kerana Perhimpunan Agung UMNO ini adalah pentas terbuka, tiada ‘bodek-bodek’.
"Walaupun kita mengkritik tetapi akhirnya tetap menyatakan sokongan kepada Presiden. Kritikan kita, kalau ada, adalah untuk kebaikan dan setahu saya, Presiden UMNO adalah seorang yang bertoleransi dengan boleh menerima kritikan serta pandangan."
"Jurucakap atau wakil setiap negeri dan sayap mesti membahaskan perkara yang nampak kontroversi yang menjadi isu secara terbuka. Umpamanya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dikatakan sebagai merasuah rakyat. Di samping itu, kita kena menggunakan kekuatan Bajet 2018 untuk menunjukkan bahawa kerajaan prihatin."
"Begitu juga dengan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST). Pembahas sewajarnya mengambil pendekatan dengan menunjukkan bahawa GST selain daripada memberi pendapatan dari segi cukai, ia merupakan penyelamat kepada belanjawan negara," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau juga turut menegaskan bahawa ucapan dan amanat Presiden UMNO itu sendiri yang akan memberi kita semangat serta menunjukkan keyakinan beliau mengemudi parti menghadapi PRU-14.