Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata 'menteri tidak berterima kasih' menjadikan Perhimpunan Agung Umno forum 'hentam Mahathir'.
Ahli politik itu dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu ketara dilihat daripada kecaman yang dilemparkan terhadap bekas presiden Umno di Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang sedang berlangsung.
“Kesilapan terbesar Dr Mahathir ialah mengekalkan menteri-menteri tidak berterima kasih itu, termasuk (Perdana Menteri) Najib (Razak),” katanya, mengeluh melihat “hentam Mahathir” nampaknya menjadi agenda utama sejak mesyuarat tahunan itu bermula di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur semalam.
Dalam ucaptama kepada para perwakilan di PAU hari ini, Najib menyasarkan Dr Mahathir dan berkata puisi “Melayu Mudah Lupa” sebenarnya merujuk kepada diri sendiri.
“Di pentas ini juga beliau mengingatkan kita bahawa Melayu mudah lupa. Namun pada kita, beliau sudah melampaui batas apabila tergamak bersubahat dan bersekutu dengan ‘musuh politik’ dan ‘musuh prinsip’ beliau selama puluhan tahun yang lalu,” katanya.
Najib menuduh pengerusi PPBM itu cuba melindungi kepentingan peribadi apabila menyertai kem pembangkang.
“Bilakah Najib akan rasa cukupnya menghentam Dr Mahathir? Ucapan presiden Umno hari ini langsung tidak menunjukkan ciri-ciri seorang presiden,” kata Zaid.
Zaid, yang pernah menjadi menteri semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata perhimpunan agung itu setakat ini tiada isi.
“Bagi sebuah parti yang bercita-cita mahu berkuasa untuk 1,000 tahun lagi, parti itu tidak membentangkan apa-apa berkaitan kehidupan rakyat.
“Tiada dasar ekonomi dan sosial jangka masa pendek atau panjang diketengahkan. Tiada harapan untuk rakyat bertaut,” katanya.
Ahli DAP itu turut membidas Najib kerana membenarkan “keganasan” dan tindakan lain oleh sesetengah pemimpin Umno.
“Seorang presiden Umno yang berwibawa akan berasa malu dengan keganasan dan kelakuan bodoh pemimpin seperti Noh Omar dan Jamal Yunos. Tetapi Najib langsung tidak bersuara.
“Saya percaya tindakan seperti itu dan menghentam Dr Mahathir akan berterusan kerana Najib berada tidak selamat,” katanya.