Dr M gesa Najib henti guna konsultan asing berbilion ringgit

Pengerusi PH itu berkata, pegawai tempatan ketika ini mempunyai cukup kepakaran untuk menasihatkan kerajaan.
Mahathir-PutrajayaKUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Datuk Seri Najib Razak berhenti menggunakan khidmat konsultan asing sebagai penasihat kerajaan, sebaliknya perdana menteri perlu mencontohi tindakannya menggunakan pegawai tempatan sepenuhnya.
“Tindakan berkenaan (ambil konsultan luar negara) amat merugikan negara dan memberi gambaran tidak ada pegawai tempatan yang berkelayakan menggalas tugas berkenaan.
“Kita perlu hentikan tabiat ambil konsultan dari luar negara yang kosnya amat tinggi, berbilion ringgit digunakan untuk menggaji konsultan luar,” katanya pada sesi bual bicara mengenai dasar Pakatan Harapan (PH) di ruangan Facebooknya.
Pengerusi PH itu berkata, pegawai tempatan ketika ini mempunyai cukup kepakaran untuk menasihatkan kerajaan.

“Negara kita telah dapat dibangunkan sehingga diiktiraf dunia sebagai satu daripada ‘Asean Tiger’ tanpa menggunakan konsultan dari negara lain.
“Kita punyai cukup kepakaran di kalangan pegawai kita untuk menasihatkan kerajaan tentang apa yang baik bagi dilakukan kerajaan Malaysia.”
Sementara itu, Dr Mahathir mengakui terlalu ramai pekerja asing di negara ini, iaitu melebihi 7.2 juta orang.
Statistik Jabatan Imigresen setakat 30 Jun 2017 menunjukkan Malaysia mempunyai 1,781,598 pekerja asing sah, dengan warga Indonesia paling ramai 728,870 orang, disusuli Nepal (405,898), Bangladesh (221,089), Myanmar (127,705), India (114,455), Pakistan (59,281) dan Vietnam (29,039).
“Keadaan mereka di negara kita merugikan kita. Jika tidak bekerja, mereka akan cetuskan masalah sosial, jika bekerja peluang pekerjaan pula berkurangan, wang kita pula mengalir ke luar negara, iaitu ke negara pekerja asing.
“Ini sudah tentu merugikan negara kita, sebab itu usaha mesti dibuat untuk kurangkan pekerja asing di Malaysia,” kata pengerusi PPBM itu.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :